Rakyat Malaysia kini sedang merasai gelombang baru yang dibawa mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di mana beliau membawa tagline yang menjadi ikutan terutamanya kepada golongan muda sejak kebelakangan ini. Gelombang yang dimaksudkan adalah penggunaan tagline seperti ‘Malu Apa Bossku’, ‘Boss Kite’ dan ‘Bukan Bisher-bisher’ oleh Datuk Seri Najib serta penyokong beliau.

Tagline tersebut telah menjadi trending nombor satu di Malaysia sejak video beliau bersama netizen di restoran Lepaking, Gombak serta poster beliau menunggang sebuah motosikal menjadi tular di media sosial seperti Facebook (FB), Twitter dan Instagram. Gelombang yang dibawa Datuk Seri Najib ini boleh dirasai di mana-mana sahaja beliau berada dan telah menarik minat rakyat dari pelbagai peringkat umur.

Tagline ‘Malu Apa Bossku’ oleh Datuk Seri Najib kini telah menjadi trending di laman media sosial

Perkara ini dilihat seperti pendekatan baru oleh Datuk Seri Najib untuk mendekatkan diri bersama rakyat setelah beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Ia juga boleh dianggap sebagai usaha beliau untuk menarik kembali sokongan rakyat walaupun berhadapan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah dan kini beliau lebih banyak meluangkan masa untuk turun padang berjumpa dengan rakyat bagi mendengar keluhan di bawah pemerintahan baru Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Usaha beliau ini telah mendapat maklum balas positif oleh rakyat dan boleh dibuktikan dengan pelbagai rakaman video serta gambar oleh netizen bagi memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib. Gelombang beliau juga telah membuatkan rakyat mengambil peluang dengan menjual pelbagai barang seperti baju, jaket dan stiker yang mempunyai tagline ‘Malu Apa Bossku’ dan ‘Boss Kita’ di pasaran. Tindakan beliau yang kerap membuat troll mengkritik kerajaan di media sosial juga telah mendapat like, retweet dan view tinggi di FB dan Twitter.

Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah maklum balas dari rakyat yang mengkritik gelombang beliau ini dan merasakan tindakan Datuk Seri Najib ini hanya untuk ‘menutup’ pandangan rakyat terhadap kes beliau berkaitan 1MDB dan salahguna kuasa. Malah, penggunaan tagline beliau yang kerap telah membuatkan rakyat jelik dan bosan seperti pasukan media Datuk Seri Najib sudah tidak ada idea baru.

Gelombang Najib kini telah menarik banyak perhatian rakyat terhadap Datuk Seri Najib

Akan tetapi, ramai beranggapan gelombang Datuk Seri Najib ini boleh memberi kesan kepada kerajaan PH. Penerimaan luar biasa beliau di Tesco Semenyih dilihat salah satu cubaan Datuk Seri Najib untuk menarik hati pengundi Semenyih menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih pada Mac nanti. Selain itu, gelombang beliau ini telah membuatkan sesetengah pemimpin dari PH seperti Datuk Seri Azmin Ali, YB Khalid Samad dan YB Rafizi Ramli memberi reaksi dengan menyelar tindakan Datuk Seri Najib serta menganggap ia publisiti murahan beliau.

Oleh kerana itu, kerajaan PH tidak boleh memandang rendah dengan gelombang Datuk Seri Najib ini walaupun menurut Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan, ia tidak membawa imej dari Barisan Nasional (BN). Reaksi luar biasa daripada rakyat terhadap beliau boleh memberi kesan kepada pengaruh PH dan seterusnya menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Sebarang kelemahan dari kerajaan boleh memberi peluang kepada Datuk Seri Najib untuk mengkritik dan pangaruh beliau melalui media sosial yang makin meningkat boleh membuka pekung kerajaan dengan lebih luas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here