Trend lambakan hartanah di Malaysia kini dilihat sebagai satu fenomena yang amat menakutkan. Fenomena ini dikatakan berpunca daripada harga yang tidak sepadan, lokasi kurang menarik dan tawaran produk tidak bersesuaian yang mengakibatkan lambakan unit kediaman siap dibina tidak terjual di negara ini. Selain itu, lambakan hartanah strata juga dikatakan menjadi punca utama mengapa fenomena ini berlaku.

Berdasarkan data yang diterbitkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 25,913 unit kediaman bernilai RM15.68 bilion tidak terjual pada suku tahun pertama 2018. Ia diikuti dengan 29,227 unit dengan nilai RM17.24 bilion menjelang suku kedua. Bilangan tersebut terus meningkat kepada 30,115 unit pada suku ketiga tahun yang sama dan ini menunjukkan peningkatan 48.35% berbanding 20,304 unit tempoh sama tahun lalu.

Akibat daripada trend tersebut, ia bukan sahaja memberikan impak terhadap ekonomi negara, malah ia juga turut memberikan kesan yang besar kepada pemaju-pemaju hartanah di negara ini khususnya pemaju bumiputera. Manakan tidak, ekonomi negara akan mengalami kelembapan yang ketara akibat lambakan unit hartanah yang tidak terjual dan mengakibatkan pendapatan negara juga turut terjejas.

Lambakan unit hartanah yang tidak menarik perhatian para pembeli di negara ini

Di samping itu, kesan terhadap pemaju-pemaju hartanah juga boleh dilihat apabila mereka menanggung kerugian yang amat besar susulan penjualan hartanah yang tidak mendapat sambutan daripada pembeli di negara ini. Akibatnya, mereka terpaksa menanggung segala hutang kos pembinaan, kos tenaga kerja asing dan kos bahan-bahan mentah binaan yang ternyata tidak mendatangkan keuntungan kepada mereka.

Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan hartabumi.com, jumlah hartanah yang tidak terjual dari tahun 2013 hingga 2017 menunjukkan peningkatan terhadap hartanah yang tidak terjual. Ia bermula di tahun 2013 apabila jumlah unit yang tidak terjual berjumlah 11,749 unit namun jumlah itu berkurangan kepada 8,839 pada tahun 2014. Walau bagaimanapun, ia kembali meningkat pada tahun-tahun berikutnya sehingga pada tahun 2017 apabila sebanyak 20,876 unit ditaksirkan sebagai unit tidak terjual. Mengikut data dan informasi yang dikeluarkan The Edge pada 4 Disember 2017, terdapat hampir 10 jenis rumah yang mengalami kemelut ini namun yang paling terkesan ialah rumah jenis ‘landed’ iaitu sebanyak 70.4% hartanah tidak terjual.

Bagi mengatasi kemelut tersebut, KPKT akan melancarkan Dasar Perumahan Negara 2018-2025 yang memfokuskan terhadap sub dasar tersebut iaitu Dasar Perumahan Mampu Milik Negara yang dikhususkan untuk membantu kategori B40 dan M40 memiliki rumah sendiri yang selesa. Selain itu, dasar tersebut turut memfokuskan kualiti rumah, aksesibiliti, penambahbaikan skim pembiayaan perumahan, penyediaan kemudahan yang sempurna dan pembangunan ‘pengurusan data’ bagi rujukan di masa depan.

Kerajaan akan menganjurkan ekspo pemilikan kediaman bagi membolehkan orang ramai membeli kediaman yang tidak dijual pada tahun depan

Kini, harga hartanah di Malaysia boleh dikategorikan sebagai harga mampu milik bagi sebahagian besar rakyat negara ini. Ia dapat dilihat dalam promosi-promosi yang diiklankan oleh pihak pemaju hartanah berkenaan segala jenis bentuk bantuan kewangan yang ditawarkan termasuklah pengecualian cukai dan sifar kadar bayaran pendahuluan khusus bagi rakyat negara ini bagi memudahkan mereka memiliki hartanah peribadi.

Seharusnya pihak kerajaan dan pemaju-pemaju hartanah harus memikirkan cara yang inklusif dalam melariskan penjualan hartanah di negara ini agar ia selari dengan pembangunan ekonomi negara. Sebagai contoh, kerajaan boleh menyediakan subsidi dan bantuan pembiayaan pinjaman kepada golongan B40 dan M40 dengan kadar peratusan tertentu mengikut kadar gaji mereka agar golongan ini tidak merasa terbeban apabila ingin membeli hartanah peribadi mereka.

Di samping itu, pihak pemaju juga perlulah lebih giat menjalankan promosi hartanah mampu milik kepada rakyat negara ini dengan cara menawarkan pakej-pakej yang bersesuaian dengan kadar semasa ekonomi negara ketika ini. Melalui cara tersebut, rakyat mempunyai pelbagai pilihan hartanah yang sesuai dengan kadar pendapatan mereka.

Ironinya, trend lambakan unit hartanah di negara ini berada pada tahap membimbangkan sehingga boleh menggugat kestabilan ekonomi negara untuk bercambah. Oleh itu, langkah segera perlu ditangani oleh pihak KPKT dalam menangani permasalahan ini agar tidak berlaku lagi lambakan unit hartanah yang sedang dalam pembinaan dan mengakibatkan kerajaan dan pemaju hartanah menanggung kerugian dan seterusnya menjurus kepada kelembapan pertumbuhan ekonomi negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here