Pada dasarnya, projek penambakan tanah di Malaysia hanyalah bertujuan untuk pembangunan berskala kecil di persisiran pantai. Hal ini bagi membantu ekonomi para nelayan dan masyarakat di persisiran pantai sekaligus mempromosikan kawasan persisiran pantai Malaysia sebagai sebuah tempat percutian yang ideal kepada pelancong dari dalam dan luar negara dengan hasil hidupan marin yang unik.

Namun, disebalik keindahan panorama pembangunan perbandaran tersebut, terselit satu cerita duka di mana masyarakat persisir pantai serta golongan nelayan harus berdepan dengan risiko kehilangan sumber pendapatan.  Ini kerana ‘tangan’ rakus pihak-pihak berkepentingan yang ‘merompak’ penggunaan serta akses nelayan dan masyarakat persisiran pantai kepada sumber pantai dan marin. Fenomena meraih lautan ini melenyapkan sumber marin dan ruang pergantungan nelayan dan masyarakat pesisir.

Projek tambak laut pada asalnya bertujuan untuk pembangunan berskala kecil dan juga membantu ekonomi masyarakat setempat

Antara kesan lain yang boleh dilihat selain dari sekatan terhadap sumber rezeki, projek penambakan ini juga turut memberi impak dari segi pemusnahan zon penampan, gangguan rantaian makanan terhadap hidupan marin dan pencemaran air di persisiran pantai. Bukan itu sahaja, ia juga turut memberi kesan terhadap kesihatan penduduk berhampiran selain menghilangkan warisan sejarah sesebuah negeri. Sebagai contoh, projek Melaka Gateway yang menjejaskan warisan komuniti Portugis di bandaraya bersejarah itu.

Oleh itu, satu tindakan drastik harus diambil oleh Kerajaan Pusat bagi membendung kegiatan ini dari terus berleluasa. Antara jalan solusi yang dilihat lebih efisyen adalah dengan mewartakan sebuah akta baharu bagi tujuan penambakan tanah. Walaupun ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun campur tangan dari Kerajaan Pusat juga dirasakan perlu dalam memperuntukkan akta yang lebih berat ke atas pihak atau syarikat yang terbabit dengan isu projek penambakan tanah di persisiran pantai.

Selain itu, penguatkuasaan dan pemantauan di sekitar kawasan persisiran pantai oleh pihak berkuasa dan Jabatan Laut Malaysia secara berskala juga diperlukan bagi mengawal aktiviti penambakan secara haram dan melebihi dari sempadan yang ditetapkan juga harus dilakukan agar tiada gangguan terhadap ekosistem laut serta kawasan penangkapan ikan bagi golongan nelayan.

Projek penambakan laut bukan sahaja membunuh ekosistem, malah menyekat pintu rezeki nelayan

Di samping itu, bagi memastikan segala ekosistem, hidupan marin dan khazanah laut ini kekal terpelihara dari gangguan penambakan tanah, satu akta atau ‘insurans’ harus diwartakan ke atas hidupan air ini. Ia bagi membolehkan pendakwaan dijalankan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang kerosakan hingga mengakibatkan kemusnahan atau kematian terhadap perkara tersebut.

Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia haruslah membuat penyelidikan termasuk siasatan yang lebih terperinci ke atas beberapa perkara termasuk memindahkan atau membatalkan beberapa projek penambakan yang dirasakan tidak perlu. Ini bagi membolehkan ekosistem di sekitar perairan pantai Malaysia kekal terpelihara. Malaysia mempunyai keluasan tanah sebanyak 329,750 km persegi, jadi sudah pasti akan ada lambakan kawasan yang boleh dijadikan projek penambakan tanah dan tidak semestinya harus bergantung ke atas kawasan persisiran pantai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here