Baru-baru ini kerajaan diminta mencari mekanisme membantu pekebun kelapa sawit yang terjejas teruk akibat kejatuhan harga komoditi itu di pasaran. Berdasarkan kepada laporan Daily Malaysia Price Of Crude Palm Oil (MPOB) harga buah sawit berada sekitar RM3,000 sehingga RM2,700 satu tan pada bulan Januari 2020. Harga semua buah sawit pada ketika ini berada pada paras terendah iaitu RM2,664 satu tan. Jika diikutkan dalam keadaan ekonomi semasa, harga ini masih belum mencukupi untuk menampung kehidupan peneroka sawit selain menjejaskan ekonomi mereka.

Koronavirus menjejaskan permintaan dan eksport minyak sawit Malaysia

Terdapat beberapa faktor berlakunya penurunan harga sawit antaranya penularan koronavirus mengurangkan permintaan minyak makan terutamanya di China. Penyebaran virus menyebabkan beberapa bandar di China ditutup, perintah berkurung dan sekatan perjalanan sehingga mengakibatkan penggunaan minyak masak lebih rendah dalam industri makanan di China. Secara tidak langsung ia menjejaskan permintaan minyak sawit selain permintaan eksport yang lebih rendah.

Tindakan kerajaan India yang juga meningkatkan duti import ke atas minyak sawit ditapis dari Malaysia daripada 50 peratus kepada 45 peratus sehingga Mac 2020 untuk mengukuhkan industri penapisan di negara itu menjejaskan sawit tempatan. Ini akan terus menekan inventori minyak sawit pada bulan-bulan akan datang, memandangkan pengeluaran minyak sawit dijangkakan lebih tinggi. Hal ini mengakibatkan kerugian besar kepada pengeksport minyak sawit Malaysia selain eksport yang lebih rendah ke India pada masa hadapan.

India meningkatkan duiti import minyak sawit Malaysia

Selain itu, Indonesia merupakan pengeluar utama minyak sawit sehingga menjual minyak mereka dengan harga lebih murah kepada negara-negara pengimport terutamanya China. Dalam persaingan ini, kita tidak boleh mengambil langkah merendahkan lagi harga jualan minyak sawit tempatan. Langkah ini hanya merugikan pekebun-pekebun kecil di negara kita.

Realitinya kejatuhan harga kelapa sawit menimbulkan keresahan khususnya warga Felda kerana ia menjejaskan punca pendapatan mereka yang bergantung kepada pendapatan daripada hasil komoditi itu untuk menikmati kehidupan lebih baik bagi diri sendiri serta keluarga masing-masing.

Malah kejatuhan harga kelapa sawit menjejaskan peluang pekerjaan khususnya penduduk di kawasan pedalaman. Secara tidak langsung ia meningkatkan kadar pengangguran selain menjejaskan ekonomi mereka.

Oleh itu, semua pihak khususnya kerajaan sewajarnya mengambil langkah proaktif dengan mempergiatkan penyelidikan serta pemasaran industri hiliran agrikomoditi, penggunaan bio bahan api, penerokaan pasaran baharu dan bekerjasama dengan negara pengeluar lain bagi menstabilkan harga komoditi berkenaan di pasaran antarabangsa. Pekebun kecil juga perlu mempelbagaikan tanaman mereka dengan tanaman baharu yang mampu memberi pulangan lebih baik agar kesan kejatuhan harga dapat dikurangkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here