Jabatan kecemasan merupakan antara jabatan yang penting bagi sesebuah hospital kerana menjadi pintu utama kemasukan pesakit ke dalam wad. Selain itu, jabatan ini juga berfungsi selama 24 jam sehari dan mempunyai proses penapisan pesakit mengikut keutamaan.

Menurut Laporan Audit Negara 2018 Siri 1, secara keseluruhannya rawatan kecemasan dan trauma telah diberikan kepada semua pesakit walaupun sebahagian daripada pesakit terpaksa menunggu lama. Maka, tidak hairanlah sekiranya jabatan ini sering menjadi tumpuan sehingga menyebabkan kesesakan.

Jumlah kunjungan pesakit yang melebihi ‘level of care’ juga merupakan faktor utama berlakunya situasi ini di unit kecemasan hospital seluruh negara. Selain itu, peningkatan kedatangan pesakit terutamanya bagi kes bukan kes kecemasan juga merupakan penyumbang kepada situasi ini.

Walau bagaimanapun, peningkatan jumlah pesakit bukanlah satu-satunya faktor berlakunya kesesakan ini. Hal ini kerana terdapat beberapa kekangan yang dihadapi oleh Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) sehingga memberi kesan terhadap perkhidmatan rawatan.

Kekangan yang dihadapi oleh jabatan kecemasan dari aspek beban tugas yang tinggi, kekurangan peralatan perubatan, ruang yang terhad dan ketidakupayaan sistem ICT juga telah memberi kesan kepada perkhidmatan rawatan kecemasan kepada pesakit.

pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan

Melihat kepada situasi ini, ia perlu diberikan perhatian dalam mencari penyelesaian terbaik supaya ia tidak berlanjutan. Sekiranya masalah ini berterusan ia akan menyebabkan pesakit tidak dapat dirawat dengan baik dalam jangka masa yang tepat. Kegagalan dalam memberikan rawatan kecemasan kepada pesakit sudah pasti mampu memberikan gambaran buruk orang awam terhadap sesebuah hospital.

Oleh itu, pihak berwajib perlu tampil dan mengambil langkah segera untuk mengkaji dan meneliti segala kekangan yang dihadapi oleh jabatan kecemasan. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap hari jumlah kunjungan pesakit akan terus meningkat dan ini menunjukkan bahawa satu pelan perancangan penyelesaian perlu dirangka segera.

Kesesakan di jabatan kecemasan adalah sesuatu yang sangat kritikal untuk ditangani bagi memastikan perkhidmatan rawatan dapat diberikan kepada kes kritikal. Oleh itu, kekurangan pakar kecemasan, kekurangan peralatan perubatan dan kaedah mengasingkan pesakit bukan kes kecemasan merupakan antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian.

kekurangan pakar kecemasan perlu diatasi segera

Secara keseluruhannya, memang benar peningkatan jumlah pesakit adalah punca utama kepada situasi ini. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menyediakan satu garis panduan yang lebih jelas kepada orang awam kategori apakah yang layak untuk mereka mendapatkan rawatan di unit kecemasan.

Di samping itu, amat penting bagi orang awam sendiri untuk mengetahui fungsi jabatan ini dan memahami tanggungjawab masing-masing supaya pesakit kritikal diberikan keutamaan dalam mendapatkan rawatan kecemasan. Kekurangan kakitangan dan alat perubatan di jabatan kecemasan seharusnya ditangani dengan kadar segera kerana segala kecekapan rawatan adalah melibatkan nyawa pesakit.

Namun, kerajaan juga tidak boleh mengabaikan terhadap keupayaan insfratruktur dan sistem di ETD supaya kecekapan perkhidmatan tidak akan terjejas pada masa akan datang. Oleh itu, adalah penting untuk pihak KKM menyelesaikan isu ini dengan segera bagi memastikan perkhimatan di jabatan kecemasan di semua hospital dapat ditambahbaik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here