Kebergantungan pelbagai industri untuk menggunakan khidmat pekerja asing berbanding rakyat tempatan telah mendapat perhatian kerajaan dan kini kerajaan bercadang untuk menukar jam waktu kerja daripada siang kepada malam. Penukaran waktu bekerja tersebut melibatkan industri tertentu untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing yang sudah mencecah 1.73 juta orang.

Menurut Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad, pendekatan baharu ini adalah satu usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan wang negara tidak mengalir keluar ke negara luar. Langkah tersebut juga dilakukan untuk mengembangkan ekonomi negara menerusi konsep berkongsi kekayaan dengan rakyat. Apa yang membimbangkan Tun Mahathir adalah setiap tahun sebanyak RM60 bilion wang negara dihantar ke luar negara oleh pekerja asing yang mempunyai komitmen keluarga di negara asal mereka.

Kerajaan mahu menggalakkan rakyat tempatan bekerja dalam industri ‘3D’

Oleh kerana itu, kerajaan bercadang untuk melaksanakan penukaran waktu kerja ini tetapi perlu melihat beberapa faktor terdahulu. Ini kerana penukaran waktu kerja boleh menganggu produktiviti sesetengah pekerja kerana mereka terpaksa mengubah cara kerja dan waktu tidur untuk bekerja pada sebelah malam. Pekerja juga terpaksa mengambil masa untuk menyesuaikan diri supaya dapat bekerja pada sebelah malam pula dan bagi yang mempunyai keluarga ia akan menganggu masa mereka.

Maka, penukaran waktu kerja ini wajar dilaksanakan dalam pekerjaan yang melibatkan industri kotor, berbahaya dan sukar (3D) kerana sering terdedah kepada cuaca panas justeru diambil alih oleh warga asing. Memang tidak boleh dinafikan Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai cuaca panas dan kerana itulah ianya menjadi alasan rakyat tempatan tidak berminat dengan pekerjaan 3D ini. Jika mereka bekerja pada waktu malam, tidak mustahil ia dapat menarik rakyat tempatan untuk bekerja dalam industri ini.

Keputusan kerajaan ini telah mendapat reaksi berbeza dari masyarakat kerana ada di antara mereka yang menyokong dan ada yang menolak. Ada di antara mereka yang menyokong, mereka sudahpun bekerja pada waktu malam dan tidak mempunyai masalah mengenainya. Malah, banyak pekerjaan oleh syarikat perkilangan dari China telah pun dilakukan pada waktu malam seperti pembinaan atau perkilangan.

Selepas ini pekerja industri 3D mungkin akan bekerja pada waktu malam

Bagi yang menolak, mereka beranggapan penukaran waktu kerja tidak akan dapat menarik minat pekerja tempatan kerana sebab utama mereka tidak berminat dengan industri 3D adalah gaji yang sangat rendah dengan purata RM900 sebulan. Ada juga netizen menolak idea tersebut kerana ia menyebabkan masa untuk keluarga terpaksa dikurangkan jika kedua pasangan bekerja.

Walau bagaimanapun, idea kerajaan ini sesuai untuk dilaksanakan tetapi perlu melibatkan beberapa industri sahaja. Jika melibatkan industri pembuatan bangunan atau kerja membaiki jalanraya maka ianya sesuai untuk waktu malam kerana tidak ada gangguan trafik. Tetapi, jika dalam industri pertanian seperti menanam padi, perladangan atau kebun ianya tidak sesuai kerana boleh terserempak dengan haiwan atau reptilia berbahaya pada waktu malam.

Justeru, kerajaan perlu memastikan sektor industri yang terlibat dalam penukaran waktu kerja ini betul-betul dapat memanfaatkan rakyat tempatan. Langkah kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing juga wajar kerana jumlah warga asing sebanyak 1.73 juta terlalu banyak hingga membuatkan majikan lebih mengutamakan warga asing dari rakyat tempatan. Tetapi ianya perlu dikaji dengan lebih baik supaya objektif perlaksanaan penukaran waktu kerja dapat dicapai oleh kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here