Sayu hati apabila terbaca berita di mana seramai 149 kanak-kanak membuat panggilan di Talian Kasih untuk mengadu bahawa mereka sedang mengalami kesunyian. Pendedahan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu amat mengejutkan kerana sebanyak 56 peratus daripada 264 panggilan diterima daripada kanak-kanak yang ingin mengadu mereka kesunyian dan memerlukan seseorang untuk berbual.

Dalam mengejar kerjaya dan juga demi memenuhi tuntutan hidup yang semakin mendesak, ramai ibu bapa yang terlepas pandang bahawa mereka telah mengabaikan hak anak-anak. Terlalu sibuk bekerja dan pulang pada lewat malam setelah anak-anak tidur menyebabkan tiada komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak sekaligus menyebabkan anak-anak rasa diabaikan.

Ibu bapa mengutamakan ‘screen-contact’ berbanding ‘eye-contact’ bersama anak-anak

Anak-anak pada zaman ini ramai yang merasa kesunyian dan terabai kerana ibu bapa lebih kepada ‘screen-contact’ daripada ‘eye-contact’ dengan anak-anak. Kemajuan teknologi ini sedikit sebanyak telah merampas hak anak-anak untuk berkomunikasi dengan ibu bapa kerana mereka terlalu leka dengan dunia teknologi.

Tidak kurang jugak ada ibu bapa yang marah apabila anak-anak mengadu kerana merasakan mengganggu mereka yang sedang berurusan atau berehat setelah penat bekerja. Kadang-kadang ibu bapa tidak memahami perasaan anak-anak kerana jika anak-anak mengadu kepada mereka, anak-anak cuma mahukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa.

Anak-anak yang sering diabaikan oleh ibu bapa akan merasa sunyi. Tidak semestinya ibu bapa yang keluar ‘outstation’ baru anak menjadi sunyi. Tetapi walaupun ibu bapa berada depan mata anak-anak sekalipun, anak-anak tetap akan merasa sunyi jika mereka tidak merasakan kehadiran dan kasih sayang ibu bapa dalam hati mereka.

Kekosongan jiwa merupakan masalah psikologi yang boleh membunuh jiwa anak-anak

Kesannya, anak-anak akan mengalami kesunyian dan perasaan kesunyian itu merupakan satu masalah psikologi yang boleh membunuh jiwa anak-anak secara senyap. Tidak ramai yang mengetahui bahawa kesan kesunyian itu sangat dasyat kerana ia boleh menyerang sistem imun seseorang dan orang yang mengalami kesunyian ini mempunyai risiko untuk meninggal awal.

Anak-anak yang sedang membesar memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Antara hadiah dan masa bersama ibu bapa pastinya anak-anak lebih memilih ibu bapa kerana mereka mahu ibu bapa bercakap, mendengar dan mendidik mereka mengenai dunia dan kehidupan. Tiada apa yang lebih bernilai dari kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa.

Tiada ibu bapa yang tidak bergelut mencari rezeki demi memenuhi tuntutan hidup pada zaman ini tetapi sebagai ibu bapa, mereka harus bijak membahagikan masa. Sesibuk manapun jadual harian, sekurang-kurangnya berkomunikasilah dari hati ke hati dengan anak-anak agar jiwa mereka terisi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here