Hasil laporan Digital 2018 yang dikeluarkan oleh Hootsuit dan We Are Social, jumlah pengguna internet di negara ini menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna yang mewakili 79 peratus penduduk Malaysia.

Daripada jumlah berkenaan 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan menjadikan Malaysia sebagai negara ke-9 dunia paling aktif di laman sosial. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin obses dengan media sosial dan menjadi fokus utama dalam kalangan golongan muda hari ini.

Media sosial sememangnya membuatkan masyarakat mudah ketagih kerana platform komunikasi yang interaktif dan melangkau segenap benua. Masyarakat pada hari ini menjadikan media sosial sebagai rujukan utama untuk mengetahui berita terkini, shopping malah media sosial menjadi platform untuk berniaga. Maka tidak hairanlah rakyat Malaysia begitu ketagih dengan media sosial.

Kewujudan aplikasi seperti Bigo dan Tik Tok yang memerlukan pengguna melakukan pelbagai aksi seperti menari dan sebagainya mengikut lagu yang disediakan membuatkan golongan muda tertarik untuk menggunakan aplikasi ini sekaligus menjadi punca ketagihan media sosial dalam kalangan golongan muda.

Fenomena dan pengaruh media sosial semakin hari semakin kuat sehingga bimbang jika suatu hari nanti penggunaanya tidak terkawal terutama dari segi komen-komen yang dilemparkan di media sosial yang boleh merosakkan.

Ketagihan media sosial ini memberi pelbagai kesan negatif kepada individu, masyarakat dan negara. Hal ini kerana, kewujudan media sosial pada hari ini telah membunuh karakter, menjadi platform menyebarkan fitnah, mencetuskan provokasi dan meninggalkan budaya terdahulu seperti saling kenal mengenal serta hormat menghormati.

Hubungan interaksi semakin berkurang akibat media sosial

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula meramalkan, kira-kira 1.53 juta orang akan mati akibat bunuh diri pada tahun 2019 kerana dipengaruhi oleh media sosial. Perkara ini telah terbukti apabila seorang remaja di Kucing, Sarawak memilih untuk membunuh diri selepas membuat undian di media sosial. Keputusan hidup matinya hanya dipertimbangkan melalui alam maya. Betapa besarnya kuasa media sosial sehingga telah menjadi satu ‘medium’ untuk membunuh.

Kejadian tersebut memberi satu signal bahawa media sosial sangat berbahaya kepada golongan yang mempunyai masalah kemurungan dan mempunyai tahap pemikiran yang tidak rasional.

Pengaruh media sosial amat besar dan dalam dunia tanpa sempadan ini, sukar untuk menyekat penggunaan media sosial. Oleh itu, pengguna perlu bertanggungjawab dan bijak dalam menggunakan platform media sosial dan menggunakannya dengan tujuan yang positif. Seharusnya kita yang mengawal media sosial dan bukan media sosial yang mengawal segala aspek kehidupan kita.

Kewujudan pelbagai aplikasi di media sosial menyebabkan ramai yang menjadi ‘hamba’ media sosial

Apa yang pasti, media sosial akan terus menjadi platform informasi dan hiburan dan hanya pengguna sahaja yang bertanggungjawab atas tindakan mereka. Segalanya bermula dengan sikap individu itu sendiri. Individu yang matang akan menggunakan teknologi yang sedia ada untuk memanfaatkan diri sendiri dan sebaliknya. Pokok pangkalnya semua terletak pada niat dan pilihan pengguna itu sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here