Gajet merupakan alatan atau teknologi yang bersifat kecil, mudah dibawa dan diterapkan dengan fungsi-fungsi terkini untuk menjalankan satu-satu aturcara atau pemprosesan. Hasil output daripada alatan ini boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk seperti bunyi, paparan skrin, gambar dan maklum balas. Di antara contoh-contoh gajet termasuklah telefon pintar dan tablet. Kecanggihan gajet tidak dapat dinafikan kerana ia mempunyai banyak kebaikan dan memudahkan urusan seharian terutama dalam urusan komunikasi, menyiapkan tugasan, alat pembelajaran atau penghantaran dokumen secara pantas.

Jika dulu, anak muda sibuk dengan basikal dan bola, tetapi anak muda zaman sekarang sibuk dengan gajetnya. Anak muda merupakan golongan yang serba tahu di dalam penggunaan gajet dan mungkin kerana minat, tumpuan serta masa mereka banyak dihabiskan dengan gajet. Kebanyakan anak muda bermula dengan menggunakan gajet sebagai sistem perhubungan dan berakhir dengan gejala tingkah laku yang serius. Ketagihan gajet di kalangan anak muda adalah bukan sahaja keinginan untuk sentiasa online, malah ada juga yang terlibat dalam pertaruhan dan perjudian.

Penggunaan gajet menyebabkan 45% remaja mendapat tidur kurang daripada 8 jam yang mereka perlukan.

Terdapat pelbagai akibat dan kesan ketagihan gajet antaranya anak muda akan mengalami masalah kekurangan tidur. Berdasarkan kajian, penggunaan gajet menyebabkan 45 peratus remaja mendapat tidur kurang daripada lapan jam yang mereka perlukan. Kekurangan tidur memberi kesan psikologi kepada anak muda termasuklah mudah marah, kemahiran sosial terjejas dan memori lemah yang boleh memberi kesan kepada pencapaian akademik mereka.

Selain itu, penurunan produktiviti dalam kalangan anak muda juga merupakan kesan daripada ketagihan gajet. Ketagihan yang melampau kepada penggunaan gajet dalam kalangan anak muda boleh mengundang personaliti murung serta menjejaskan penglibatan aktiviti harian mereka memandangkan mereka menghabiskan banyak masa hanya bersosial melalui gajet. Malah terdapat segelintir anak muda telah menyalahgunakan kemudahan gajet ini untuk mengakses laman yang tidak bermoral seperti laman pornografi yang akhirnya boleh mendorong mereka melakukan hubungan seksual dengan kekasih, rakan dan juga antara penyebab berlakunya peningkatan kes sumbang mahram atau kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa di negara Malaysia.

Akhbar Berita Harian melaporkan ketagihan gajet dalam kalangan anak muda punca remaja hilang keyakinan diri dan mengundang personaliti murung serta menjejaskan penglibatan aktiviti harian.

Di samping itu, ketagihan gajet juga boleh menyebabkan interaksi dan gaya hidup manusia berubah. Melayari gajet secara berlebihan juga boleh menyebabkan individu duduk bersendirian sepanjang masa, seterusnya mengurangkan interaksi secara bersemuka. Golongan muda tidak lagi suka berbicara secara berdepan dan menyebabkan mereka tidak sensitif dengan perasaan dan tidak endah reaksi orang lain. Keadaan ini akan mendedahkan remaja kepada masalah psikologi dan juga masalah kesihatan.

Justeru, kerajaan perlulah mengkaji langkah proaktif bagi menghadkan penggunaan internet khususnya untuk remaja bawah 17 tahun selepas 12 tengah malam hingga 6 pagi, sebagaimana yang dilaksanakan di Jepun dan Korea bagi menangani masalah ketagihan gajet khususnya di kalangan anak muda. Selain itu, ibu bapa seharusnya membeli perisian yang boleh menyekat anak-anak daripada menonton atau melihat kandungan lucah yang banyak terdapat di pasaran. Jangan sesekali membiarkan mereka melayari internet secara bersendirian. Ibu bapa juga perlu menyemarakkan anak-anak mereka dengan pelbagai aktiviti fizikal bersama seperti membaca, membeli belah atau menonton wayang yang membolehkan masa anak-anak diisi dengan aktiviti positif.

Oleh itu semua pihak memainkan peranan penting bagi menangani masalah ini. Gajet ini sebenarnya ada kesan negatif dan positifnya tersendiri, namun jika ia tidak dikawal akan mengakibatkan berlakunya ketagihan dan sudah tentu akan memberikan banyak impak yang negatif kepada anak muda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here