Permainan atas talian atau online game ini telah mula merebak dalam kalangan golongan muda hingga menyebabkan mereka ketagihan dan tidak sedar masa berlalu kerana terlalu asyik bermain. Permainan seperti DOTA, PUBG dan Mobile Legend telah menarik minat golongan sebegini dan masyarakat boleh melihat mereka sentiasa bermain di kafe siber, restoran mamak hingga di tempat kerja.

Mereka terpengaruh dengan online game kerana ianya percuma untuk dimuat turun dalam Google Play Store dan Apple App Store. Ia telah mendorong golongan muda untuk membeli telefon pintar supaya dapat bermain online game bersama rakan-rakan hingga berjam-jam dalam perlawanan online game. Malah, lambakan online game baru yang diiklankan dalam media sosial juga menarik minat mereka untuk memuat turun permainan baru tersebut.

Kebanyakan online game di Play Store dan App Store adalah percuma untuk dimuat turun

Selain itu, mereka menghabiskan masa bermain online game untuk mengejar ‘reward point’ atau ‘level game’ bagi mendapatkan hadiah seperti watak baru atau senjata yang lebih hebat dalam permainan tersebut. Selagi mereka tidak mendapat hadiah tersebut mereka akan terus bermain bagi menguatkan profil game masing-masing dan mengejar kedudukan sebagai pemain terbaik.

Walau bagaimanapun, ketagihan mereka ini sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan mereka dan Persatuan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan ketagihan game sebagai salah satu penyakit mental. Penyakit ini digelar Internet Gaming Disorder kerana individu tersebut tidak dapat mengawal waktu seharian mereka hingga memberi kesan negatif pada diri sendiri dan kehidupan sosial bersama keluarga serta masyarakat.

Malah ada juga berlaku kes kematian akibat terlalu asyik bermain online game seperti di India dan Thailand. Kes di India berlaku selepas seorang remaja mengalami serangan jantung akibat adrenalin mangsa mengalir deras kerana keghairahan bermain selama enam jam sebelum mati. Di Thailand pula, seorang remaja mengalami strok selepas bermain online game secara berterusan dan terbaring tidak bernyawa di hadapan komputernya.

Kes remaja mati akibat online game semakin banyak dan membimbangkan

Oleh kerana itu pemantauan ibu bapa sangatlah penting untuk mengelakkan anak-anak mereka menjadi salah satu mangsa ketagihan online game. Ibu bapa perlu lebih tegas untuk menegur anak-anak mereka jika mereka terlalu asyik bermain online game atau menghadkan waktu penggunaan telefon pintar atau komputer di rumah. Kelekaan ibu bapa juga menjadi punca anak-anak mereka ketagih bermain online game kerana tiada halangan dan ibu bapa harus memainkan peranan dalam isu ini.

Di samping itu, langkah kerajaan China yang menetapkan had masa bermain bagi yang berumur 18 tahun juga boleh dipraktikkan di Malaysia. Undang-undang tersebut dilaksanakan oleh kerajaan China untuk mengelakkan berlaku lebih banyak golongan muda mengalami masalah mata dan masalah kesihatan lain.

Justeru, masalah ketagihan online game ini perlu mendapat perhatian ramai pihak bagi mengelakkan golongan muda mengalami masalah kesihatan atau lebih teruk, kematian. Di Malaysia sahaja jumlah remaja yang ketagih online game semakin meningkat dan perlu ada langkah pencegahan daripada pihak kerajaan. Tidak salah jika golongan ini mahu bermain online game tetapi perlu ada had terutamanya kepada golongan remaja bawah umur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here