Sejak berberapa tahun kebelakangan ini, ramai golongan artis melibatkan diri dalam dunia politik. Tidak kurang juga ada yang mencalonkan diri mereka dalam PRU sebagai ADUN mahupun MP. Persoalannya, apakah mereka memang betul-betul layak atau keterdesakan pemimpin parti politik untuk meraih sokongan rakyat dalam usaha untuk mengambilalih pentadbiran negara?

Persoalan kepemimpinan dan perlantikan pemimpin ialah amanah yang akan disoal Allah SWT di akhirat. Pemimpin bukan individu ‘tangkap muat’ hingga usaha pemilihannya perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh, barulah terlepas daripada tuntutan kewajipan dalam pemilihan amanah kepimpinan.

Dalam hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW bersabda: “Maka sekiranya hilang sifat amanah, tunggulah hari pembalasan.” Abu Dzar berkata: “Bagaimanakah hilangnya sifat itu?” Baginda bersabda: “Sekiranya tampuk kepimpinan jatuh kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah hari pembalasan,” (HR al-Bukhari).

Di dalam agama Islam sendiri telah dinyatakan nilai utama seseorang pemimpin itu adalah pada amanahnya dan bukan pada populariti. Akan tetapi, apa yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin parti politik pada hari ini dilihat sudah lari dari tujuan asal. Mereka seakan berlumba-lumba menarik para golongan artis untuk masuk ke dalam parti mereka dengan tujuan untuk meraih sokongan.

Bahkan, ada di antara golongan artis ini yang secara semberono diletakkan sebagai calon ‘atas angin’ pada PRU untuk sekadar mencukupkan syarat pemilihan. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kalau menang dapat habuan, kalau kalah, dibiarkan.

Ya, memang tidak dapat dinafikan penglibatan golongan seni ini di dalam bidang politik ini digalakkan atas faktor pengaruh. Bukan di negara ini sahaja, malah artis-artis luar negara juga turut melakukan hal yang sama.Tetapi rakyat harus sedar, apa gunanya pengaruh kalau belakang mereka dikawal oleh ‘tangan ghaib’ yang akhirnya mendatangkan kesusahan rakyat di kemudian hari? Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu sedangkan kamu mengetahui (salahnya).” (QS Al- Anfal: 27)

Ingatlah wahai rakyat sekelian, memilih atau menyokong sesebuah kepemimpinan itu bukanlah terletak kepada populariti siapa yang menganggotainya, tetapi kepada yang berintergriti, amanah dan tegas dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Sekiranya pemilihan kepemimpinan dilakukan secara tidak betul, ia dianggap pengkhianatan kepada Allah SWT dan RasulNya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here