Isu mengenai hukuman rotan di sekolah telah timbul kembali berikutan kes seorang ibu telah membuat laporan polis kerana anak perempuannya dirotan guru sekolah di Johor Bahru. Kes tersebut telah mendapat perhatian ramai pihak dan mula memberi pendapat masing-masing tentang hukuman rotan yang masih dipraktikkan di sekolah.

Pada tahun 2017, Yayasan Guru Malaysia Berhad pernah menyatakan pihak mereka bersetuju untuk melaksanakan hukuman rotan di sekolah jika tindakan itu berupaya memberi pengajaran dan menginsafkan pelajar. Tindakan merotan pelajar bukan dianggap sebagai hukuman tetapi menjadi sebahagian dari proses pendidikan bagi memberi kesedaran kepada pelajar dari berterusan melakukan perkara yang melanggar peraturan sekolah.

Walau bagaimanapun, hukuman rotan tidak boleh dilaksanakan secara sewanang-wenangnya kerana ia adalah tindakan terakhir kepada pelajar yang melakukan kesalahan. Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ada menggariskan prosedur operasi standard (SOP) terhadap hukuman rotan dimana tiga proses perlu dilalui sebelum tindakan merotan pelajar.

Kes terbaru melibatkan pelajar dirotan guru telah mendapat perhatian ramai pihak tentang hukuman rotan

Proses pertama adalah pengetua atau guru besar akan melihat jenis salah laku pelajar dan jika ia tidak memerlukan hukuman berat, hanya amaran akan diberikan kepada pelajar. Proses kedua pula, pengetua atau guru besar boleh memberikan denda jika hukuman tersebut lebih berat dan wajar dikenakan kepada pelajar. Setelah kedua-dua proses ini selesai barulah ada hukuman rotan maksimum tiga kali untuk pelajar lelaki di bahagian tangan dan diadakan secara tertutup.

Jika mengikut daripada perkembangan dalam mendidik pelajar, hukuman rotan masih lagi wajar untuk dilaksanakan atas sebab yang munasabah dan tidak boleh dilihat dari perspektif negatif. Ini kerana, hukuman tersebut hanya boleh dilaksanakan setelah langkah lain seperti nasihat atau kaunseling gagal dalam mendidik pelajar dari melakukan kesalahan. Tetapi, kuasa untuk merotan hanya perlu dilakukan oleh pengetua atau guru besar sahaja dan guru biasa tidak boleh merotan pelajar.

Di samping itu, langkah mencari alternatif lain yang lebih sesuai menggantikan hukuman rotan ini sukar untuk dilakukan kerana tiada hukuman berat yang ‘lebih lembut’ dalam menggantikan hukuman rotan ini. Tetapi, KPM boleh melakukan kaunseling melibatkan pelajar bermasalah dan ibu bapa pelajar bersama pihak PDRM atau Jabatan Penjara Malaysia bagi memberi pendidikan tentang apa yang boleh terjadi kepada pelajar bermasalah kelak jika mereka tidak mempunyai disiplin yang baik.

Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan ibu bapa memainkan peranan dalam mendisiplinkan pelajar di luar waktu sekolah kerana masa mereka lebih banyak dihabiskan di sana. Punca yang menyebabkan hukuman rotan ini dipersoalkan adalah apabila ibu bapa mengambil tindakan sendiri kerana tidak berpuas hati tentang hukuman rotan tersebut sedangkan mereka mengenepikan masalah disiplin anak mereka.

Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak tentang disiplin bagi menjaga tingkahlaku di sekolah

Justeru, tidak wajar untuk menggesa kerajaan memansuhkan hukuman rotan kerana ianya masih berguna dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar sekolah. Malah, satu portal internet telah melakukan soal selidik untuk mendapatkan maklum balas netizen tentang hukuman rotan dan 95 peratus netizen bersetuju tentang hukuman rotan dilaksanakan di sekolah.

Akan tetapi, SOP tentang hukuman rotan ini perlu diperketatkan seperti hukuman rotan tidak boleh meninggalkan kesan parut kepada pelajar atau ibu bapa sendiri yang merotan anak di sekolah. Tujuan hukuman rotan ini sebenarnya bukanlah untuk menghukum atau memukul pelajar, tetapi pelajar perlu tahu apa akibat dan hukuman yang mereka akan terima jika melakukan kesalahan di sekolah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here