Apa itu Lese Majeste? Lese Majeste merupakan satu perkataan yang berasal daripada bahasa Latin yang membawa maksud ‘menderhaka kepada raja’. Jadi maksudnya di sini, barangsiapa yang didapati cuba atau telahpun mengeluarkan perkataan yang menghina terhadap institusi diraja, kaum kerabat dan para pemimpin-pemimpin negara, maka mereka akan didakwa di bawah peruntukan undang-undang Lese Majeste. Undang-undang itu digubal demi melindungi, memelihara kemuliaan dan menghentikan penghinaan terhadap institusi raja di beberapa negara dengan pendekatan dan hukuman berbeza.

Di Malaysia, tiada peruntukan khusus dalam mengamalkan undang-undang Lese Majeste. Akan tetapi, sekiranya ada di antara individu yang didapati mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja, maka mereka akan disiasat dan didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) melalui Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 233(3). Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan denda RM1,000 bagi kesalahan berulang.

Thailand adalah salah satu kerajaan yang mengamalkan undang-undang Lese Majeste

Jika dilihat, undang-undang yang dikenakan ke atas pesalah yang secara sengaja mengeluarkan kata-kata penghinaan ke atas institusi diraja negara ini kelihatan agak rapuh dan longgar dari segi pelaksanaannya. Walaupun institusi diraja Malaysia dilindungi oleh Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan, namun ia masih belum cukup untuk memberi pengajaran terhadap pesalah-pesalah jenayah tersebut untuk tidak melakukan kesalahan yang sama.

Oleh itu, undang-undang Lese Majeste dilihat sebagai undang-undang yang sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia berikutan serangan para netizen terhadap institusi diraja yang dilihat semakin hari semakin melampau hingga mengundang pandangan negatif masyarakat dunia terhadap sistem Raja Berpelembagaan di negara ini dan menganggap bahawa perkara ini sebagai satu isu yang remeh dan boleh dipermainkan.

Antara negara-negara yang mengamalkan undang-undang Lese Majeste ini adalah negara-negara Eropah seperti Itali, Switzerland dan Poland. Manakala di negara Timur Tengah pula adalah Kuwait, Jordan dan Arab Saudi. Di Asia, Thailand adalah negara yang mengamalkan undang-undang Lese Majeste dengan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan. Sebagai contoh, kes yang berlaku sekitar Ogos 2017, seorang lelaki Thailand dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana menyebarkan enam klip video yang dianggap menghina monarki negara itu.

Malaysia sepatutnya menguatkusakan undang-undang Lese Majeste bagi melindungi kepentingan institusi diraja negara ini

Sementara itu, undang-undang ini juga turut dilaksanakan di Kemboja apabila seorang guru lelaki berusia 50 tahun yang ditahan kerana memuat naik kenyataan dalam laman Facebook yang mengkritik Raja Norodom Sihanouk dan abangnya Putera Norodom Ranariddh berhubung peranan mereka dalam pembubaran parti pembangkang utama, Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja, pada Mei 2018.

Sekiranya Malaysia melaksanakan undang-undang Lese Majeste bagi melindungi kepentingan institusi diraja negara ini, maka ia perlu dilaksanakan dengan kadar hukuman yang setimpal mengikut kepada kesalahan yang dilakukan. Sebagai contoh, sekiranya ada individu yang didapati melakukan penghinaan ke atas institusi diraja negara ini, maka hukuman yang sepatutnya dikenakan adalah dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun kerja berat ataupun denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya. Manakala, sekiranya individu tersebut didapati mengulangi kesalahan yang sama, hukuman penjara seumur hidup tanpa parol boleh diwujudkan untuk dijadikan pedoman kepada masyarakat di negara ini.

Undang-undang Lese Majeste ini sememangnya undang-undang yang sangat praktik untuk dilaksanakan di negara ini. Ia berikutan terdapatnya satu gerakan yang cuba untuk menjatuhkan institusi Raja Berpelembagaan Malaysia bagi mengubah sistem pemerintahan di negara ini dengan sistem pemerintahan sekular seperti di kebanyakan negara-negara dunia.

Kini, sudah tiba masanya bagi kerajaan, Pejabat Peguam Negara dan Majlis Raja-Raja bersama-sama melakukan kajian berkenaan undang-undang ini untuk dipratikkan di dalam akta-akta yang terkandung dalam perundangan di Malaysia agar ia tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini perlu bagi memastikan institusi diraja negara ini sentiasa dilindungi dan dijaga rapi. Sekiranya kerajaan memandang isu ini secara sambil lewa, institusi diraja Malaysia mungkin akan menerima ancaman keselamatan yang sangat serius dan berkemungkinan juga tiada lagi istilah “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” di dalam Rukun Negara pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here