Malaysia merupakan antara negara dengan kadar pemilikan kenderaan yang tinggi di seluruh dunia. Kebanyakan keluarga yang berkemampuan semestinya mempunyai satu kereta. Dengan kadar pemilikan yang tinggi ini juga, kadar kemalangan Malaysia antara yang tertinggi di dunia. Kenderaan masa kini sudah mempunyai pelbagai ciri-ciri keselamatan namun bagaimana dengan pemantauan? Disini pentingnya kelengkapan tambahan dan “dashcam” dilihat sebagai satu peralatan yang harus dimiliki oleh semua pemandu.

Sebagai contoh kita cuba pandang ke negara Rusia, majoriti rakyat mereka yang memiliki kenderaan mempunyai sebuah dashcam di dalam kenderaan mereka. Ia umpama menjadi satu kewajiban bagi rakyat mereka untuk memiliki alat tersebut berbanding dengan peralatan yang lain. Maka dengan itu adalah sangat tidak mustahil apabila kita sering dapat saksikan rakyat di sana mampu untuk merakam saat-saat meteor yang terbang melalui langit.

Adakah alat seperti dashcam ini sah untuk digunakan oleh para pemandu di seluruh negara? Kebanyakan negara menggalakkan penggunaan alat ini kerana ia merupakan satu ciri-ciri  keselamatan tambahan yang perlu ada di dalam sesebuah kenderaan. Namun terdapat negara yang mengharamkan rakyat mereka untuk menggunakan dashcam ini seperti negara Austria, Belgium, France, Germany, Portugal dan banyak lagi kerana mereka bimbang alat sebegini akan disalahgunakan serta mampu menggugat keselamatan di dalam negara mereka.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarikat pengeluar kereta yang sudah menyediakan ciri-ciri keselamatan seperti Toyota, BMW dan Chevrolet. Inovasi yang telah dilakukan oleh mereka seharusnya diikuti oleh syarikat-syarikat pengeluar kereta yang lain khususnya Proton serta Perodua kerana ia mampu memberi satu nilai tambah kepada mereka untuk menambah keyakinan rakyat Malaysia membeli kereta nasional di negara ini.

Terdapat pelbagai jenis dashcam yang boleh anda dapati di luar sana

Keupayaan dashcam adalah untuk merakam segala perilaku dan kejadian yang berlaku di jalan raya. Ia boleh dijadikan sebagai salah satu bahan bukti bagi melihat bagaimana sesuatu kemalangan atau kejadian itu terjadi. Dashcam boleh merakam kejadian tersebut dengan mudah dan ia juga boleh digunakan untuk merakam nombor pendaftaran kenderaan yang melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang seperti penyebab kemalangan atau kes langgar lari.

Selain itu juga, selain kemampuan merakam visual, kebanyakan dashcam kini telah mempunyai kebolehan merakam suara. Hal ini secara tidak langsung ia dapat merakamkan perbualan di antara pemandu dan penumpang, sekiranya terdapat sebarang kejadian yang berpunca dari penumpang itu sendiri. Bagi pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan seperti Grab atau Uber, ia juga dapat merakam segala kesalahan yang dilakukan oleh para penumpang anda.

Wanita juga sangat memerlukan dashcam untuk menjamin keselamatan mereka

Secara realistiknya penggunaan dashcam di dalam kenderaan adalah amat wajar sekali oleh masyarakat pada ketika ini. Sebagai pemandu yang bijak, kita perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga oleh kerana malang itu tidak berbau. Diharapkan juga pihak kerajaan dapat membantu untuk memperluaskan lagi tentang keperluan penggunaan dashcam ini di kalangan rakyat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here