Pusat Tansformasi Bandar (UTC) kini telah menjadi satu kemudahan baru kepada rakyat kerana ia menjadi tempat untuk rakyat Malaysia melakukan urusan dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran, Jabatan Imigresen, Tabung Haji dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, baru-baru ini kerajaan telah memutuskan untuk menukar waktu operasi UTC di Semenanjung, Sabah dan Sarawak berkuat kuasa pada 1 Januari 2019.

Sebelum ini UTC beroperasi bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 10 malam, manakala jadual baru yang diputuskan kerajaan telah memendekkan waktu operasi dari pukul 8 pagi hingga 7 malam sahaja setiap hari. Keputusan tersebut dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir melalui satu surat edaran yang ditandatangani beliau.

Kerajaan membuat keputusan memendekkan waktu operasi kerana mahu memastikan kerajaan menguruskan perbelanjaan dengan cekap seperti isu kekangan perjawatan dan peruntukan belanja operasi khususnya pembayaran bil utiliti serta bayaran kerja lebih masa dalam UTC. Malah, faktor kehadiran pelanggan yang sedikit iaitu 11 peratus selepas jam 7 malam telah menjadi salah satu sebab bagi mengelakkan pembaziran waktu dan tenaga.

UTC kini beroperasi pada jam 8 pagi sehingga 7 malam setiap hari

Pemendekkan waktu operasi di UTC akan memberi kesan yang berbeza kepada kerajaan dan rakyat. Ini kerana pemendekkan waktu operasi akan mengurangkan kos perbelanjaan dalam pengurusan operasi. Malah ianya juga dapat mengurangkan waktu kerja pekerja UTC yang sebelum ini terpaksa bekerja lebih masa sehingga jam 10 malam.

Akan tetapi pemendekkan waktu operasi akan menyukarkan pekerja yang bekerja dalam waktu pejabat untuk melakukan sebarang urusan di UTC. Ini kerana waktu habis bekerja bagi pekerja ini berbeza dari pukul 5 petang hingga 6 petang. Jadi mereka hanya mempunyai 1 jam sahaja jika mahu berurusan di UTC ataupun mereka terpaksa membuat urusan ketika waktu pejabat.

Di samping itu juga, pemendekkan waktu operasi akan menyebabkan urusan di UTC pada hujung minggu akan meningkat kerana kekangan masa pada hari biasa. Ini akan menyebabkan pekerja UTC pada hujung minggu menjadi lebih sibuk kerana orang ramai tidak mahu mengejar masa untuk berurusan pada waktu mereka bekerja di pejabat.

UTC kini menjadi kemudahan kepada rakyat untuk berurusan dengan agensi kerajaan

Oleh kerana itu, ramai pihak tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk memendekkan waktu operasi di UTC. Salah satu sebabnya adalah mereka sukar untuk membuat sebarang urusan pada waktu habis bekerja kerana waktu operasi yang sama dengan waktu mereka bekerja. Malah ada di antara mereka terpaksa memohon cuti semata-mata ingin berurusan seperti membuat MyKad baru atau memohon membuat passport baru yang mengambil masa agak lama untuk siap.

Jadi kerajaan perlu membuat kajian lebih terperinci mengenai penukaran waktu operasi UTC dengan mengambil kira faktor dari pengguna. UTC kini menjadi kepentingan kepada rakyat kerana ia memudahkan mereka membuat urusan seperti menjelaskan bil utiliti, cukai tanah, menukar MyKad dan membayar saman JPJ atau Polis Trafik di satu tempat sahaja tanpa perlu pergi ke pejabat agensi masing-masing.

Langkah drastik dengan memendekkan waktu operasi hingga pukul 7 malam dilihat terlalu tergesa-gesa dan lebih baik ianya dilakukan secara berperingkat seperti 9 malam dahulu kemudian baru dipendekkan mengikut jumlah pelanggan yang berurusan pada waktu tersebut. Maka kerajaan perlu melihat pelbagai aspek dahulu dan membuat kajian lebih mendalam sebelum membuat apa-apa keputusan demi kelangsungan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here