Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, sistem pembayaran tanpa tunai dilihat semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat kita kerana ia dapat memudahkan pengguna ketika berbelanja. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Menterinya, Dr Maszlee Malik telah mengumumkan bahawa KPM juga dalam perancangan untuk memperkenalkan progam sekolah tanpa tunai (cashless school) di sekolah-sekolah seluruh negara.

Oleh itu, untuk merealisasikan program ini KPM juga akan menjalinkan kerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) di mana usahasama ini akan diadakan di beberapa sekolah terpilih. Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan dilihat telah pun melaksanakan program ini dan ia telah menyakinkan pihak KPM untuk memperluaskan lagi program ini di sekolah-sekolah yang lain. Penggunaan tanpa tunai dan kad debit merupakan sebahagian teknologi dalam dunia masa kini yang sewajarnya didedahkan kepada para pelajar di peringkat awal lagi. Selain itu, ia juga dilihat sebagai salah satu cara untuk mengelakkan murid dan pelajar berisiko untuk kehilangan atau kecurian wang.

Usaha KPM dalam memperluaskan program ini di sekolah-sekolah di seluruh negara adalah satu tindakan yang wajar dilakukan memandangkan gelombang transaksi tanpa tunai bukanlah satu perkara baharu di negara-negara maju. China adalah antara negara yang telah lama menggunakan transaksi tanpa tunai dengan majoriti transaksi menggunakan kaedah pengimbasan Kod Quick Response (QR) melalui telefon pintar masing-masing. Oleh itu, program ini dilihat sebagai salah satu inisiatif yang baik dalam mempersiapkan generasi sekarang dalam menghadapi gelombang transaksi tanpa tunai pada masa akan datang.

KPM ingin perluas program tanpa tunai

Di samping itu, program ini juga dilihat mampu memberikan kesan yang positif kerana konsep ‘cashless’ menjadikan operasi perniagaan lebih mudah diurus serta dipercayai selamat untuk dikendalikan. Alternatif ini juga berpotensi untuk menjadikan setiap transaksi pembayaran seperti membeli makanan atau buku menjadi lebih cepat dan efisien. Sekiranya para pelajar dapat menjimatkan masa melalui kaedah ini di waktu rehat mereka, sudah pasti kelas pembelajaran dapat dilakukan mengikut waktu yang telah ditetapkan.

Pembayaran tanpa tunai dikatakan lebih efisien

Selain itu, sebagai pelajar kadang-kala mereka cenderung untuk berbelanja sesuka hati namun melalui kaedah ini ia dapat merekodkan setiap perbelanjaan yang dilakukan sekaligus ibu bapa pelajar boleh memantau perbelanjaan anak-anak mereka. Sehubungan itu, langkah KPM menjadikan sekolah sebagai platform dalam menerapkan budaya tanpa tunai adalah satu langkah yang baik.

Justeru itu, sebarang cadangan untuk menjadikan masyarakat negara kita sebagai sebuah masyarakat tanpa tunai perlu mendapat kerjasama semua pihak seperti institusi kewangan serta syarikat komunikasi dan teknologi. Diharapkan langkah untuk memperluaskan penggunaan sistem transaksi tanpa tunai ini dapat diperkasakan bagi mencapai sasaran kerajaan. Langkah ini juga diharap dapat mendidik masyarakat untuk berbelanja secara berhemat dan secara tidak langsung ia dapat mengawal perbelanjaan masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here