Disumbat ke dalam penjara untuk satu tempoh waktu tertentu adalah satu hukuman ke atas pesalah jenayah sebagai memberi pengajaran terhadap golongan tersebut. Hukuman penjara merupakan antara medium terbaik demi mengembalikan jati diri insan. Laporan pada tahun 2018 menyatakan bahawa lebih 50 peratus daripada 37 penjara di seluruh negara mengalami kesesakan berikutan bilangan banduan melebihi kapasiti yang sepatutnya.

Oleh itu, sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kesesakan dalam penjara adalah dengan mencadangkan program pemulihan banduan khususnya bagi pesalah dadah. Hal ini kerana, daripada sejumlah 66,222 banduan di seluruh Malaysia, 56 peratus daripada mereka terlibat dengan akitiviti penyalahgunaan dadah. Lebih merumitkan keadaan apabila mereka telah selesai menjalani hukuman, 99 peratus daripada golongan ini akan mengulangi kembali ketagihan dadah akibat daripada stigma masyarakat yang tidak boleh menerima golongan banduan ini.

56 peratus daripada 66,222 banduan adalah banduan yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah

Cadangan ini dilihat wajar kerana ia merupakan salah satu langkah untuk melaksanakan pembaharuan sistem penjara dan lokap dalam negara sekaligus dapat meminimumkan pengendalian institusi penjara. Jika kerajaan melaksanakan program pemulihan banduan ini, ia akan dapat menjimatkan kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk membiayai banduan. Melalui penjimatan tersebut, kerajaan boleh menyalurkan dana itu untuk membina pusat-pusat pemulihan dan memberikan bantuan perubatan kepada banduan yang sedang menjalani pemulihan daripada ketagihan dadah.

Inisiatif kerajaan ini sudah pasti mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat kerana pasti ada pihak yang tidak bersetuju dengan program pemulihan banduan ini. Namun, inisiatif ini perlu dilaksanakan agar lama kelamaan stigma dan pandangan negatif umum terhadap golongan banduan ini dapat diubah. Seharusnya masyarakat tidak menyisihkan golongan banduan ataupun bekas banduan kerana mereka juga berhak mendapat peluang kedua untuk membina kehidupan baru.

50 peratus daripada 37 penjara di seluruh negara sesak

Justeru itu, tindakan kerajaan untuk menjalankan proses pemulihan kepada banduan adalah wajar. Pendekatan ini mampu memulihkan banduan kerana mereka juga insan biasa yang memerlukan sokongan masyarakat dan masih boleh dipulihkan agar dapat kembali berbakti kepada masyarakat dan negara. Namun, kerajaan perlu memperketatkan sistem pemantauan bagi memantau tingkah laku mereka atas faktor keselamatan mereka dan juga masyarakat. Selain itu, sikap prejudis masyarakat terhadap golongan banduan ini perlulah dihakis agar mereka tidak kembali ke kancah jenayah mahupun penyalahgunaan dadah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here