Situasi dalaman Khazanah Nasional Berhad pada ketika ini dilihat semakin hari semakin menegang. Manakan tidak, sedikit demi sedikit kerugian yang dialami oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) berkenaan menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat Malaysia tentang keadaan ekonomi semasa negara pada ketika ini.

Semasa pembentangan Ulasan Tahunan Khazanah 2019 (KAR 2019) pada 5 Mac lalu, Pengarah Urusan, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata Khazanah merekodkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion pada 2018 berbanding untung sebelum cukai RM2.896 bilion tahun sebelumnya. Sementara itu, Nilai Portfolio Khazanah Nasional Berhad turun sebanyak 21.6 peratus kepada RM91 bilion setakat 31 Disember 2018 berbanding RM116 bilion tahun sebelumnya berdasarkan Nilai Bersih Diselaras (NWA). Manakala Nilai Aset Direalisasi (RAV) turut menyusut kepada RM136 bilion berbanding RM157 bilion bagi tempoh sama.

Khazanah Nasional Berhad mengalami kerugian mendadak dalam tempoh 10 tahun

Menurut beliau lagi, kerugian yang dialami oleh Khazanah pada ketika ini adalah disebabkan oleh jumlah pelupusan yang lebih sedikit berbanding tahun sebelumnya, pendapatan dividen yang berkurangan dan peruntukan bagi susut nilai yang lebih tinggi, seiring dengan ketidaktentuan pasaran. Bukan itu sahaja, portfolio syarikat berkenaan juga terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global pada 2018 yang menyaksikan pasaran yang perlahan berikutan ketegangan geopolitik dan prospek pertumbuhan kurang memberangsangkan bagi pasaran baharu muncul.

Selain itu, kerugian yang dihadapi oleh Khazanah pada hari ini juga dikaitkan dengan pentadbiran zaman BN di mana satu pelaburan yang besar telah dilakukan ke atas Malaysian Airlines (MAS). Akan tetapi, syarikat penerbangan tersebut gagal memperbaiki prestasinya dari segi meraih keuntungan sekaligus menyebabkan kerugian yang besar terhadap Khazanah.

Kerugian Khazanah disebabkan oleh pelaburan ke atas Malaysian Airlines Berhad yang akhirnya tidak membawa sebarang keuntungan

Kerugian yang dialami oleh Khazanah Nasional Berhad pada ketika ini sememangnya suatu perkara yang amat menakutkan terutama sekali terhadap kaum Melayu. Ini kerana Khazanah merupakan salah satu syarikat GLC yang melindungi kepentingan ekonomi kaum Melayu. Sekiranya syarikat ini mengalami kerugian atau lebih buruk iaitu kebankrapan, maka akan timbul pelbagai kesan ke atas ekonomi negara dan juga terhadap Khazanah.

Antara kesan ketara yang dapat dilihat adalah negara akan mengalami kemerosotan yang teruk. Hal demikian disebabkan penjualan aset-aset yang dimiliki oleh Khazanah kepada pihak luar dan seterusnya diswastakan hingga akhirnya menyebabkan berlakunya unjuran terhadap ekonomi negara. Keadaan ekonomi Malaysia juga akan mengalami inflasi akibat daripada kerugian Khazanah. Hal ini kerana apabila aset-aset yang dijual menjadi swasta, ia pasti akan memberi kesan yang mendalam terhadap kuasa ekonomi masyarakat negara ini terutamanya kaum Melayu.

Sekiranya kerugian Khazanah Nasional Berhad berlaku secara berterusan, kerajaan disarankan untuk mencari solusi yang tepat bagi membendung segala permasalahan ini. Hal ini demi melindungi kepentingan ekonomi masyarakat Malaysia terutamanya kaum Melayu. Kerajaan hendaklah melakukan satu revolusi berkenaan ekonomi yang diurus tadbir oleh Khazanah dengan menjalankan usahasama bersama syarikat swasta yang lain dan bukannya menjualkan aset-aset kepada negara luar kerana perkara itu akan menyebabkan lebih banyak kerugian kepada negara.

Di samping itu, kerajaan bersama-sama Kementerian Kewangan dan pengurusan Khazanah Nasional Berhad disarankan untuk merancang pengurusan perbelanjaan yang terperinci ke atas syarikat GLC tersebut dalam usaha untuk mengurangkan beban kerugian yang ditanggung syarikat berkenaan. Ini kerana dengan kaedah ini, ia akan menjimatkan aliran wang keluar sekaligus dapat menyelamatkan syarikat daripada muflis.

Justeru, peranan daripada semua pihak yang menjalankan urus tadbir di dalam syarikat ini perlu dipergiatkan agar dapat memulihkan kembali reputasi serta membawa semula keuntungan kepada Khazanah seperti tahun-tahun sebelumnya. Hal ini disebabkan pertumbuhan ekonomi negara yang bergantung kepada penghasilan dari aset-aset yang diurus tadbir Khazanah Nasional Berhad dan sekiranya perkara ini berterusan tanpa sebarang pencegahan, Malaysia mungkin bakal berhadapan dengan situasi kejatuhan ekonomi dan matawang atau lebih teruk, muflis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here