Terkelu sebenarnya apabila ada pihak yang mencipta naratif baharu dengan menyatakan bahawa Chin Peng adalah wira dan pejuang kemerdekaan sebenar di negara ini. Maka ada pihak yang bermati-matian mahu abu komunis itu di bawa pulang ke tanah air. Ini merupakan satu penghinaan kepada pasukan keselamatan negara terutama polis dan tentera jika benar abu komunis itu dibawa pulang.

Bukan mahu bercerita mengenai Chin Peng, tetapi apa yang mahu dinukilkan adalah kisah patriot, pencinta negara yang sanggup berkorban nyawa untuk sebuah keamanan. Ketika zaman Darurat pada 1946 hingga 1960 apabila pihak komunis bertindak mengangkat senjata seramai 1,800 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera termasuk yang cacat anggota badan.

Sub Inspektor Ngalinuh Bala mungkin tidak se’popular’ ahli politik, namun keberaniannya menentang segerombolan komunis seramai 100 orang di Jalan Ulu Oya, Sibu pada 29 April 1972 wajar dikenang sebagai wira negara. Anggota polis ini rela ‘menukarkan’ nyawanya bagi memastikan orang awam dapat menjalani kehidupan dengan selamat tanpa pertumpahan darah.

Sub Inspektor Ngalinuh Bala.

Pegawai tentera TUDM, Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman pernah melalui detik cemas apabila helikopter yang dipandunya yang membawa mayat Pegawai Risik, Kapten Hardev Singh bersama lima anggota lain diserang hendap oleh komunis di Gubir. Beliau lagi sekali berhadapan dengan detik cemas ketika helikopter yang dinaikinya untuk membawa bekalan makanan pernah beberapa kali ditembak oleh komunis.

Bukti kekejaman komunis.

Serangan sebelum subuh di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 mungkin memberi kesan berpanjangan kepada anggota polis yang terlibat dengan peristiwa serangan komunis itu. Koperal Abu Bakar Daud kehilangan isteri, Fatimah Yaaba dan anaknya Hussin yang ketika itu berusia dua tahun. Mereka ditemui dalam keadaan berpelukan akibat ditembak komunis. Peristiwa Bukit Kepong ini telah mengorbankan 14 anggota polis, empat isteri anggota, seorang anak polis dan enam polis bantuan.

Datuk Salleh Buang pernah menulis di dalam kolumnis Berita Harian mengenai kata-kata seorang ahli politik mengenai peristiwa Bukit Kepong. Wira sebenarnya adalah pengganas komunis dan bukan pasukan polis kerana mereka ini orang suruhan penjajah Inggeris. Tidak pasti sebenarnya bagaimana mahu mengangkat Chin Peng dan pengganasnya sebagai wira selepas mereka berjaya membunuh tidak kurang 11,000 orang.

Asisten Komisioner Jeremy Ting, bekas pegawai polis di Sarawak sendiri menyatakan bahawa Chin Peng bukan seorang wira. Beliau perlu diingati sebagai pengganas kerana mahu menjadikan Malaysia sebagai satu negara komunis.

Kebanyakan wira yang tidak didendang ini hanya mahu perjuangan mereka terus dihargai dan bukan sia-sia. Sesungguhnya kemerdekaan dan keamanan yang kita kecapi hari ini adalah hasil pengorbanan jiwa dan raga wira-wira terdahulu.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here