Dalam dunia globalisasi hari ini, penggunaan media sosial sememangnya tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian. Ia sudah menjadi sebahagian aktiviti harian dalam kehidupan sosial masa kini kerana salah satu peranan utamanya ialah untuk interaksi sosial. Namun, kewujudan media sosial hari ini telah melahirkan pelbagai golongan yang lantang dan bebas berkongsi pendapat mereka sehingga ada yang mengeluarkan kenyataan yang jelik lalu mencetuskan kontroversi.

Segelintir warganet sengaja mencetuskan isu sensitif yang berupaya menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan masyarakat majmuk. Sudah banyak tulisan berunsur perkauman dan mengkritik dasar kerajaan yang disiarkan menerusi laman sosial ini lalu menimbulkan kemarahan pihak berkuasa. Tidak kurang juga ada di antara golongan-golongan berpengaruh mengeluarkan kenyataan yang menjentik sentimen yang boleh mengundang perbalahan di antara kaum di Malaysia.

Media sosial menjadi medan warganet bebas berkongsi pendapat

Kehidupan masyarakat kita yang berbilang kaum kini begitu mudah terganggu dek kritikan yang berunsur provokasi ditambah pula dengan komen-komen segelintir warganet yang ‘membakar line’ sehinggakan isu yang kecil dibesar-besarkan sehingga mengundang pergaduhan. Sesungguhnya, laman sosial ini boleh mencetuskan sesuatu isu sensitif itu sehingga sukar dikawal dan membawa kemusnahan yang besar.

Komen-komen negatif dan jelik ini semakin menjadi-jadi di media sosial kerana ada segelintir yang mengutarakan pendapat mereka dengan lantang dan ada pula yang menyokong pendapat tersebut yang menyebabkan mereka seakan-akan ghairah untuk terus memberikan pendapat mereka. Tidak kurang juga ada yang suka bertelingkah untuk menegakkan pandangan masing-masing dan tidak mahu mengalah.

Dalam dunia moden dengan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih ini kebebasan tersebut akan dipergunakan dengan seluas-luasnya tanpa tapisan dan sempadan. Malah, seperti yang dapat kita saksikan rakyat kita sendiri telah menggunakan teknologi ini dengan segala kebebasannya menyebarkan maklumat sama ada betul atau palsu, cerita tentang orang dalam bentuk tohmahan atau fitnah, mengeluarkan fatwa tertentu dan sebagainya sehingga laman seperti ini menjadi amat eksklusif dan diminati.

Kesannya, dapat kita lihat berlakunya rusuhan kuil Sri Mariamman yang berpunca daripada salah faham yang berlarutan sehingga membawa kepada rusuhan. Apa yang lebih menyedihkan apabila semangat perkauman yang telah dibina seakan hancur oleh kerana salah faham dan provokasi dari golongan tertentu.

Komen berunsur provokasi akhirnya mencetuskan rusuhan

Oleh itu, kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap warganet yang bertindak keterlaluan dalam melemparkan komen-komen di media sosial agar perkara sebegini tidak berulang lagi. Jika masyarakat terlalu keterlaluan dalam memberikan komen negatif dan menyampaikan fitnah dengan mudah menggunakan media sosial, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menyekat penggunaan media sosial tersebut seperti yang dilakukan oleh negara China.

Justeru itu, perlu ada sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap masyarakat dalam mengutarakan pendapat dan suara dalam mengekspresikan pandangan masing-masing demi menjaga keamanan dan keharmonian negara. Selain itu, penting untuk ditekankan bahawa kebebasan bersuara tidaklah memberikan jaminan mutlak kepada masyarakat untuk menggunakan hak tersebut secara semberono kerana kebebasan itu juga mempunyai had.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here