Konflik dalaman yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, YB Zuraida Kamaruddin dan Datuk Seri Azmin Ali dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus hangat diperkatakan. Baru-baru ini keluar kenyataan yang menyatakan bahawa Zuraida sudah mula menghantar borang keahlian Bersatu bahagian Ampang.

Namun, berita penyertaan Zuraida dalam parti Bersatu dikatakan tidak benar. Borang tersebut tular ketika hubungan tegang dilaporkan berlaku di antara Zuraida dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seolah-olah ada pihak lain yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh bagi merumitkan hubungan di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Surat yang tersebar dan borang permohonan keahlian yang tular kononnya ditulis Zuraida dan ditujukan kepada Dr Mahathir bagi memohon pertimbangan menyertai parti Bersatu

Sebelum ini, Zuraida telah diberikan surat tunjuk sebab dan beliau mempunyai tempoh 14 hari untuk memberikan penjelasan. Konflik dalaman PKR mulai ketara apabila Datuk Seri Azmin Ali dan Zuraida mengeluarkan kenyataan keras terhadap kepimpinan tertinggi parti itu dan ia terzahir dengan ketara ketika parti terbabit mengadakan kongres tahunan di Melaka.

Akibat daripada keadaan ini, sesetengah pihak mendesak agar Datuk Seri Azmin Ali dan Zuraida dikenakan tindakan disiplin. Kumpulan yang berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti Otai Reformis 98, Jingga 13, Anak Reformis dan Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia iaitu sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak agar Zuraida di pecat.

Konflik dalaman PKR yang melibatkan 3 individu

Tindakan untuk memecat Zuraida hanya akan menyebabkan pemimpin tertinggi PKR itu berada di dalam ‘persimpangan dilema’. Ini berikutan kemungkinan peluang untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-8 terjejas. Namun jika beliau tidak mengambil apa-apa tindakan kepada Zuraida, kedudukannya sebagai Presiden PKR pasti akan sedikit goyah. Pengikutnya mula akan mempersoalkan kuasa beliau sebagai presiden.

Datuk Seri Azmin Ali dan Zuraida merupakan barisan menteri kabinet di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad. Maka tindakan memecat Zuraida mahupun Datuk Seri Azmin Ali mungkin boleh menyebabkan kedua-dua menteri kabinet ini mempengaruhi Tun Dr Mahathir untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15. Maka Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bijak dalam menyelesaikan konflik dalaman PKR.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here