Program ‘Komuniti Selamat’ merupakan sebuah program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) bersama-sama persatuan penduduk, rukun tetangga, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan PDRM bagi membanteras kejadian jenayah di kawasan persekitaran mereka. Selain itu, program ini juga memberi penerangan dan panduan kepada masyarakat tentang langkah-langkah yang patut diambil dalam pencegahan jenayah.

Peningkatan kes jenayah di negara ini dilihat berada pada tahap membimbangkan. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja laporan mengenai kejadian jenayah yang berlaku di persekitaran kawasan tidak kira sama ada di bandar mahupun di desa. Hal ini mendatangkan kebimbangan terhadap rakyat Malaysia khususnya ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi taman perumahan berkenaan tahap keselamatan di tempat mereka. Oleh sebab itu, program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di kawasan persekitaran kediaman mereka dan sekaligus dapat mencegah jenayah daripada terus berleluasa.

peningkatan kadar jenayah yang semakin berleluasa menyebabkan program konsep ‘Komuniti Selamat’ harus giat dijalankan

Apakah kebaikan dan kelebihan yang diterima oleh masyarakat melalui konsep ‘Komuniti Selamat’ ini? Sudah semestinya tahap keselamatan di kawasan persekitaran mereka akan lebih diberikan perhatian dan lebih terjamin. Ini kerana dengan adanya pengawasan dan rondaan yang maksimum daripada rukun tetangga dan SRS, sudah pasti kadar jenayah boleh diminimumkan dan boleh dicegah dengan seberapa pantas yang mungkin.

Selain itu, antara kelebihan yang diterima oleh masyarakat melalui konsep ini adalah mereka akan dilindungi oleh pihak berkuasa. Ini kerana sekiranya kampung atau taman mereka didaftarkan di dalam sistem pengawasan PDRM, sudah pasti kawasan mereka akan dipantau dengan lebih kerap dan sekiranya ada kejadian jenayah berlaku di kawasan tersebut, sistem amaran awal akan menerima perkara tersebut dan jenayah akan segera dibanteras dalam tempoh singkat.

Konsep ‘Komuniti Selamat’ ini sememangnya satu program yang amat bertepatan dengan keadaan serta situasi semasa yang berlaku di negara pada hari ini. Malah program ini juga dapat menjadikan sesebuah bandar dan desa menjadi selamat serta harmoni. Ini kerana dengan adanya program tersebut, ia akan memberi lebih jaminan keselamatan yang rapi ke atas kawalan dan pengawasan di sesebuah persekitaran kerana konsep ini melibatkan kerjasama semua pihak dari pelbagai agensi dalam usaha untuk membanteras jenayah dan juga kegiatan tidak bermoral di kawasan bandar dan desa.

Kerjasama di antara pasukan polis, SRS, rukun tetangga dan MPKK sangat diharapkan dalam memastikan keamanan kawasan setempat kekal terpelihara dan jenayah diabanteras dengan segera.

Walaupun konsep ‘Komuniti Selamat’ ini bukanlah suatu program yang baru, namun kerajaan serta kementerian-kementerian yang terlibat perlulah memikirkan satu jalan solusi dalam melakukan penambahbaikan ke atas konsep ini bagi memantapkan program tersebut. Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan adalah mengkaji semula Dasar Sosial Negara. Kajian itu diperlukan untuk menilai usaha kerajaan bagi mewujudkan masyarakat yang stabil, sihat dan harmoni berasaskan nilai moral yang kukuh untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dan untuk menggerakkan lagi perpaduan kaum.

Selain itu, usaha lebih gigih mesti dilakukan untuk meningkatkan pembangunan sosial berasaskan nilai-nilai yang dapat memperkasakan modal insan. Ia akan menjadi benteng kepada pelbagai masalah sosial yang melanda masyarakat kita. Bukan itu sahaja, kerajaan dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh masyarakat harus melaksanakan program besar-besaran berasaskan ‘Nilai untuk Negara’. Ia bertujuan untuk memperkukuhkan lagi nilai murni dan kemanusiaan dalam masyarakat.

Justeru, semua pihak digesa untuk memainkan peranan masing-masing di dalam konsep ini supaya program ini dapat dipergiatkan lagi demi untuk menjamin keselamatan rakyat Malaysia. Oleh itu, semua pihak harus bergerak bersama mengharungi cabaran untuk menjadikan bandar dan desa tempat yang selamat dan harmoni untuk hidup kepada semua lapisan masyarakat. Ia perlu dalam memastikan masyarakat di negara ini hidup dengan aman tanpa sebarang ketakutan dan merasa selamat untuk tinggal di tanah air sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here