Konsep negara maju merupakan satu agenda utama bagi mana-mana negara dan Malaysia juga ingin mencapai sebuah negara maju pada masa akan datang. Konsep ini juga menjadi keutamaan kepada Perdana Menteri (PM) Malaysia Tun Mahathir ketika menjadi PM ke 4 dan juga PM ke 7 dengan melaksanakan pelbagai dasar sejak beliau mula memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan tersebut pada tahun 1981.

Beliau telah membentangkan satu kertas kerja yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 atau dikenali sebagai Wawasan 2020. Ia merupakan rangka kerja bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu dalam memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur. Beliau telah memperkenalkan dasar-dasar untuk Malaysia mencapai sasaran itu namun kesemuanya diubah selepas beliau bersara.

Antarnya adalah Dasar Pensyarikatan berasaskan kerjasama erat yang terjalin antara kerajaan dengan swasta. Rancangan tersebut bermula di mana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyatnya sebagai pekerja serta pemegang saham. Pembangunan negara amat bergantung kepada dua sektor utama iaitu sektor awam dan swasta. Oleh itu kerjasama yang terjalin boleh meningkatkan pembangunan negara.

Tun Mahathir telah memperkenalkan dasar-dasar untuk memajukan lagi ekonomi negara

Selain itu, Tun Mahathir telah memperkenalkan Dasar Penswastaan bagi merujuk kepada perubahan agensi dan syarikat milik kerajaan yang diswastakan. Dasar ini diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan agensi dan syarikat kerajaan yang menarik tetapi kurang berdaya maju. Walaupun objektif penswastaan bukanlah untuk mendapatkan hasil, namun program ini telah memberi sumbangan pendapatan yang banyak kepada kerajaan kerana kutipan cukai daripada keuntungan sebanyak 40-50 peratus dari setiap syarikat swasta.

Dasar Perindustrian Negara pula telah menjadi salah satu kejayaan Malaysia dalam industri pembangunan negara sebagai usaha untuk merealisasikan negara ke arah modenisasi yang membanggakan. Tun Mahathir menjalankan proses transformasi dalam bidang teknologi yang semakin mencapai kejayaan bermula pada pertengahan tahun 1990an seperti projek kereta nasional, Koridor Raya Multimedia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Bukit Jalil, Litar Antarabangsa Sepang dan Menara Berkembara Petronas (KLCC).

Kemajuan dalam pembangunan negara telah diilhamkan oleh Tun Mahathir pada tahun 1990an

Tun Mahathir juga menolak dasar kerajaan terdahulu untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi kerana menurut beliau kenaikan pendapatan boleh menyebabkan peningkatan kos barangan dan perkhidmatan. Kenaikan ini akan mengurangkan dayabeli (purchasing power) berbanding dengan pendapatan yang dinaikkan. Kenaikan pendapatan tanpa kenaikan dayabeli tidak bermakna sama sekali, sebaliknya ia akan menghalang pembangunan negara ke arah sasaran menjadi negara maju.

Dasar-dasar yang diperkenalkan Tun Mahathir ini telah memberi impak besar kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi negara sejajar dengan konsep negara maju yang diketengahkan. Ia telah membentuk satu acuan kepada pembentukan negara maju pada jangka masa panjang kerana Malaysia masih lagi berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran itu.

Walaupun sasaran asal Tun Mahathir iaitu Wawasan 2020 terpaksa dilanjutkan kepada tahun 2025, dasar-dasar yang diperkenalkan Tun Mahathir ini telah menjadi kayu ukur untuk Malaysia menjadi salah sebuah negara maju di mata dunia pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here