Konsep ‘town hall’ atau  sesi pendengaran awam perlu diperluaskan oleh pihak kerajaan supaya masyarakat bebas mengutarakan pendapat mereka mengenai permasalahan yang berbangkit.

Jika di negara Barat sesi ‘town hall’ atau ‘town hall meeting’ ini bukan suatu perkara yang asing. Malah istilah ini juga diambil daripada American English yang bermaksud mesyuarat atau perjumpaan yang diadakan dalam suasana yang tidak formal.

Di Amerika Syarikat, apabila sesi ‘town hall’ diadakan, semua penduduk di komuniti bandar itu akan dijemput hadir. Mereka yang hadir ini boleh menyuarakan pendapat dan mendengar penjelasan daripada pihak berkuasa mengenai sesuatu perkara.

Antara sesi ‘town hall’ di Barat

Malaysia juga mengamalkan sesi ‘town hall’ yang melibatkan agensi-agensi kerajaan dengan orang awam. Antaranya Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)  telah mengadakan sesi pendengaran awam buat pertama kalinya pada 2016.

Agensi itu mengadakan sesi yang melibatkan badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk, orang ramai, ahli akademik, golongan belia, remaja dan wanita. Sesi ini bertujuan untuk mendengar sendiri pendapat dan cadangan bagi memperkukuhkan MCPF dalam usaha membantu ke arah pencegahan jenayah di negara ini.

Sesi perbincangan ini perlu diperluaskan oleh pihak kerajaan. Banyak impak yang positif jika ‘meja bulat’ dibuka bagi membincangkan sesuatu perkara. Pada 2017, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor ada meminta pihak berkuasa tempatan di Iskandar Malaysia untuk mengadakan sesi ‘town hall’ dalam usaha memberi penjelasan tentang masyarakat rendah karbon.

Arahan yang diberikan kepada pihak berkuasa tempatan itu menunjukkan bahawa sesi ‘town hall’ ini mampu memupuk kesedaran dan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai suatu isu. Rakyat berhak untuk mendapatkan sesuatu penjelasan mengenai setiap perkara.

Berkenaan isu Lynas yang diperjuangkan oleh Adun Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack yang mahu kilang radioaktif itu ditutup kerana bimbang kesan kimianya ke atas penduduk Kuantan.

Namun baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk membenarkan kilang memproses nadir bumi itu terus beroperasi. Ekoran daripada itu, ianya menimbulkan pertikaian dan perasaan tidak puas hati di kalangan penduduk Kuantan dan pemimpin dari parti pembangkang.

Kilang Lynas mungkin antara topik yang sesuai dijadikan perbincangan di dalam sesi ‘town hall’

Satu sesi perbincangan seperti ‘town hall’ mungkin perlu dilakukan di antara pihak kerajaan, ahli akademik, wakil dari kilang Lynas dan penduduk setempat supaya tidak menimbulkan salah faham kepada pihak kerajaan. Hal ini kerana, kedua-dua adun itu telah memperjuangkan isu penutupan kilang Lynas sejak 10 tahun lalu, bermakna semasa pemerintahan kerajaan BN, isu ini telah dibangkitkan. Namun keputusan yang diberikan oleh Perdana Menteri tidak memihak kepada penduduk Kuantan.

Maka melalui sesi ‘town hall’ penduduk Kuantan mungkin akan mendapat penjelasan berhubung perkara berkenaan. Malah penduduk setempat juga boleh memberikan pendapat mereka atau meluahkan perasaan jika tidak berpuas hati.

Itu hanya sekadar pandangan. Hakikatnya ‘town hall’ atau sesi pendengaran awam ini perlu diperluaskan oleh pihak kerajaan, supaya setiap perkara yang diputuskan oleh kerajaan atau mana-mana pihak mendapat penjelasan yang sewajarnya. Secara jujurnya, sesi ‘town hall’ ini lebih banyak memberikan impak yang positif kepada semua pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here