Isu kenaikan kos sara hidup yang tidak berkesudahan sering membelenggu rakyat Malaysia sejak bertahun lamanya. Walaupun negara kini berada di bawah perintahan kerajaan baru, namun isu ini masih lagi di takuk lama dan sehingga kini tiada sebarang mekanisme yang ditemui bagi menyelesaikan isu tersebut.

Peningkatan mendadak kos sara hidup di negara ini juga secara tidak langsung telah menyebabkan kenaikan harga makanan dan minuman oleh para peniaga. Alasan yang diberikan adalah kerana kenaikan kos harga barang dan minyak selepas pelaksanaan SST yang mengakibatkan mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual. Hal ini telah mengundang rasa tidak puas hati kepada para pengguna.

Kenaikan kos sara hidup turut mengakibatkan peningkatan harga terhadap barang makanan dan minuman

Akibatnya, sebanyak 4,000 aduan mengenai kenaikan harga makanan dan minuman yang diterima KPDNHEP setiap bulan. Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata lebih 50 peratus aduan yang diterima ialah mengenai kenaikan harga makanan dan minuman di premis makanan, ‘food court’ dan restoran.

Baru-baru ini, satu kajian telah dilakukan oleh firma e-dagang (Picodi.com) menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan purata hampir 40 peratus gaji minimum mereka hanya untuk perbelanjaan barangan dapur sahaja. Menurut kajian itu lagi, Malaysia berada di tempat ke-39 daripada 52 negara yang menggunakan pendapatan mereka dengan perbelanjaan makanan asas berjumlah RM361.29 iaitu kira-kira 37.2 peratus daripada baki gaji minimum yang boleh dibelanjakan.

Ironinya, isu kenaikan kos sara hidup ini telah mendatangkan kesan yang mendalam kepada rakyat Malaysia khususnya golongan B40. Dalam konteks ini, peningkatan pendapatan hanya mengikut arus peningkatan kos sara hidup. Nampak seperti boleh mengurangkan tekanan kos sara hidup seseorang. Walhal, setiap tahun tekanan kos sara hidup semakin menghimpit kehidupan rakyat.

Kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menghabiskan purata 40 peratus gaji minimum mereka terhadap perbelanjaan dapur sahaja

Jika dahulu, kuasa membeli rakyat mampu membeli dua kuantiti bagi sesuatu produk dengan nilai wang pada ketika itu. Kini, ekoran kos sara hidup yang cukup menekan, kuasa membeli telah menurun dengan hanya mampu membeli satu kuantiti bagi produk yang sama meskipun gajinya meningkat berbanding sebelum ini. Hal ini berlaku kerana peningkatan harga produk tersebut melebihi kenaikan gajinya.

Justeru, beberapa langkah perlu diambil oleh pelbagai pihak dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat. Antaranya adalah rakyat perlulah memberikan keutamaan kepada perancangan berbelanja dengan melihat kepada keutamaaan berbanding kehendak dengan membuat perbandingan harga sebelum berbelanja. Di samping itu, rakyat juga perlulah sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dan menimbangkan keputusan untuk menambah hutang.

Selain itu, peranan kerajaan juga amatlah diharapkan dengan menyediakan ruang-ruang pekerjaan yang lebih banyak agar had gaji minimum perlu dinaikkan lagi untuk wujudkan keseimbangan dengan harga barangan yang meningkat. Ini secara tidak langsung membolehkan rakyat berbelanja malah yang lebih penting memberi peluang kepada warganegara tempatan bekerja di negara sendiri dengan mengurangkan kebergantungan pekerja asing yang menguasai buruh pasaran.

Peningkatan kos sara hidup adalah realiti yang harus diharungi oleh penduduk sesebuah negara terutama oleh golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah. Ramai dalam kalangan penduduk di Malaysia rata-rata membuat dua pekerjaan semata-mata untuk menampung kos sara hidup yang dikatakan membebankan rakyat pada masa kini.

Sebagai rakyat Malaysia, dalam menempuhi arus kenaikan kos sara hidup individu tersebut perlu bijak merancang perbelanjaan mereka supaya tidak tersasar dari target perbelanjaan sebenar dan bagi pihak kerajaan pula, anda perlu memperkasa semula sistem pendidikan dan meningkatkan had gaji minimum bagi mengurangkan bebanan ini kepada masyarakat seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here