Masalah krisis air boleh dikatakan bencana rakyat kerana ia merupakan masalah yang sering berlaku saban tahun. Krisis air ini telah berlaku di banyak negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur serta Kedah dan kini ia telah berlaku di Melaka. Sehingga kini seramai 40,000 penduduk Melaka telah terjejas hingga tersebar khabar angin pengisytiharan darurat di negeri tersebut.

Punca berlakunya krisis air ini disebabkan oleh kemerosotan paras di empangan, kolam tadahan dan Sungai Melaka akibat purata hujan rendah hingga menyebabkan gangguan kepada tekanan air di beberapa kawasan sekitar Melaka. Ia telah menyebabkan paras air di Empangan Durian Tunggal yang merupakan empangan utama negeri tersebut melepasi paras kritikal manakala paras air Empangan Jus masih mencukupi.

Paras air di Empangan Durian Tunggal telah mencecah paras kritikal

Krisis bekalan air ini telah memberi kesan kepada penduduk di 12 kawasan Melaka Tengah dan tiga lagi di Jasin. Kawasan Melaka Tengah merupakan kawasan tumpuan kerana ia melibatkan Melaka Raya, Ayer Keroh dan Batu Berendam yang mempunyai komposisi penduduk tinggi serta tempat pelancongan di Melaka. Penduduk yang terjejas terpaksa mengangkut tong dan baldi untuk mengisi air dari lori tangki.

Selain itu, ia menyukarkan beberapa penduduk yang mengalami masalah kesihatan terutama warga tua kerana mereka tidak larat untuk mengambil air di lori tangki hingga menyebabkan mereka tidak dapat mandi dan mengambil wuduk. Bagi peniaga di sekitar kawasan Melaka Tengah dan Jasin sudah tentu terpaksa tutup kedai dan bergantung kepada bekalan air minuman dibeli di pasaraya untuk berniaga.

Walau bagaimanapun, kerajaan Melaka telah mengambil inisiatif dengan meminta bantuan bekalan air dari negeri jiran dan kini 14 lori tangki dari konsesi air Johor, Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Pulau Pinang serta Terengganu telah disalurkan ke Melaka. Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) untuk mengepam 12 juta liter air sehari.

Perubahan angin monsun diharapkan membawa lebih banyak hujan pada hujung September ini

Malah, krisis ini juga diharapkan dapat dielakkan memandangkan berlaku perubahan angin monsun yang dijangka berlaku sekitar hujung September dan diharapkan dapat membawa lebih banyak hujan untuk meningkatkan paras air di sungai, empangan serta kolam takungan air.

Krisis air merupakan masalah yang membebankan rakyat dan boleh menjejaskan peniaga jika tidak diselesaikan segera. Jika kerajaan negeri hanya bertindak dengan membuat catuan air atau menaikkan bil air, ia tidak akan menyelesaikan masalah dan hanya menimbulkan bebanan kepada rakyat.

Maka kerajaan Melaka perlu mengambil tindakan jangka masa panjang untuk mengelakkan krisis air ini berulang dari hanya bergantung kepada bantuan dari negeri lain. Pembinaan Empangan Jernih di Alor Gajah perlu dilaksanakan segera supaya lebih banyak bekalan air dapat disimpan dan mempunyai simpanan mencukupi apabila berlaku musim kemarau berpanjangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here