Muzik boleh dikatakan satu bentuk hiburan yang sangat rapat dengan masyarakat tetapi tidak semua tahu muzik juga telah menjadi satu kuasa dalam menyatukan rakyat Malaysia sendiri. Sebagai contoh, lagu-lagu patriotik kini telah berjaya memberi kesan mendalam kepada pelbagai generasi apabila dinyanyikan secara harmoni dan menghayati maksudnya.

Kini, rakyat Malaysia boleh menikmati pelbagai genre lagu-lagu patriotik yang mempunyai bait-bait lirik lagu memupuk semangat kenegaraan dan bersatupadu. Antara lagu yang masih dimainkan seperti Standing In The Eyes of The World oleh Ella dan Warisan oleh Allahyarham Dato’ Sudirman telah menjadi lagu wajib di kejohanan sukan negara atau hari kemerdekaan.

Lagu patriotik kini dihasilkan dalam pelbagi genre untuk menarik minat pelbagai generasi

Kerana itulah muzik patriotik kini semakin mendapat tempat dalam hati rakyat dan ramai artis melihat lagu-lagu patriotik perlu dijadikan dalam pelbagai versi bagi menarik minat generasi muda. Apabila lagu-lagu tersebut dimainkan di televisyen dan media sosial, mereka akan menyanyikannya bersama-sama. Ini menunjukkan impak lagu-lagu patriotik dan membuatkan ramai sedar betapa lagu-lagu ini sangat berpengaruh.

Tetapi jika dilihat kebelakangan ini, lagu-lagu patriotik kurang didedahkan di media eletronik seperti radio dan televisyen. Kebanyakkan stesen-stesen media merasakan lagu-lagu sebegini tidak mendapat rating tinggi dan lebih tertumpu kepada muzik hiburan. Ia menjadi punca kenapa lagu-lagu patriotik menjadi lagu ‘bermusim’ kerana dimainkan ketika bulan kemerdekaan sahaja.

Perkara ini pernah diluahkan oleh penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana menurut beliau, lagu patriotik banyak dihasilkan tetapi kurang disiarkan. Oleh kerana itu kerajaan harus menggunakan media baru seperti media sosial untuk mendedahkan rakyat tentang lagu patriotik supaya ianya boleh dihayati masyarakat.

Muzik kini bukan dianggap hiburan sahaja tetapi kuasa untuk menyatukan rakyat

Kerajaan boleh memuatnaik video lagu-lagu patriotik di laman media sosial seperti Facebook (FB), Instagram, Twitter atau Youtube setiap minggu supaya masyarakat dapat didedahkan dengan lagu tersebut. Ini kerana kebanyakkan masyarakat hanya mengetahui beberapa sahaja lagu patriotik sedangkan banyak lagu ini dikeluarkan tetapi tidak diberi peluang untuk dimainkan. Kerajaan boleh menyelitkan lagu lama dan lagu baru supaya lagu-lagu lama tidak dilupakan kerana impak lagu-lagu lama tersebut masih ada dalam diri rakyat.

Maka, wajar untuk masyarakat Malaysia menghayati dan menghargai muzik patriotik yang ada kerana ia kini bukanlah dianggap sebagai hiburan tetapi menjadi elemen dalam menyatukan rakyat. Lagu ini tidak boleh dijadikan lagu bermusim dan hanya dimainkan menjelang bulan kemerdekaan sahaja kerana setiap lagu patriotik mempunyai mesej tersendiri.

Setiap rakyat Malaysia boleh lihat sendiri apabila lagu-lagu ini dimainkan, kesemua akan menyanyikannya bersama tidak kira bangsa dan agama kerana itulah yang menguatkan penyatuan rakyat Malaysia dan itulah kuasa muzik yang harus dihargai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here