Malaysia dan isu perkauman pada hari ini tidak dapat dipisahkan. Ke mana saja kita pergi, percayalah! Pasti akan terjumpa insiden-insiden yang melibatkan perkara sedemikian rupa. Seperti insiden yang melibatkan kematian seorang pemandu kereta di Lebuhraya Utara-Selatan(PLUS). Ada sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan kebencian terhadap sesebuah kaum berikutan daripada kejadian tersebut.

Rusuhan dan pergaduhan antara kaum semakin berleluasa pada hari ini

Sebenarnya, sudah acapkali kejadian yang melibatkan isu perkauman berlaku di negara ini. Akan tetapi, ia tidaklah seserius seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini. Kebanyakannya diselesaikan secara berhemah tanpa ada pertumpahan darah dan sengketa. Namun, adakah kita tegar untuk menyaksikan insiden-insiden seperti ini berterusan? Oleh itu, beberapa langkah harus dilakukan demi mengukuhkan silaturahim dan perpaduan kaum di negara ini.

Antara langkah tersebut adalah dengan melaksanakan program berbentuk perpaduan rakyat di bawah Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional. Ini bagi mendidik rakyat tentang betapa pentingnya untuk mengukuhkan perpaduan dan meningkatkan rasa hormat di antara satu sama lain. Melalui program ini juga ia dapat membuka mata dan minda masyarakat Malaysia agar tidak bersifat rasis di antara satu sama lain. Bukan itu saja, ia juga memupuk kesedaran masyarakat tentang kepayahan generasi terdahulu dalam membina perpaduan sesama kaum demi kesejahteraan dan kestabilan negara.

Selain itu, rakyat Malaysia juga disaran untuk memulakan sendiri langkah mereka dalam mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini. Tidak perlu menunggu sesuatu program dijalankan, hanya dengan menghormati di antara satu sama lain sudah cukup untuk mengukuhkan perpaduan. Sebagai contoh, mengamalkan sikap tolong-menolong dan hormat menghormati sesama jiran di kawaasan perumahan. Dengan cara itu, barulah ia menjadi tauladan dan ikutan semua pihak.

Semangat perpaduan seharusnya diterapkan sedari kecil agar generasi baru lebih memahami

Di samping itu, ketua masyarakat sekitar juga harus memainkan peranan dalam membentuk pemikiran masyarakat setempat supaya tidak bersifat rasis dan cuba untuk menimbulkan unsur-unsur rasis di kalangan masyarakat lainnya. Ini perlu dalam mengekalkan kestabilan dan dapat menghindarkan diri mereka dari gejala-gejala negatif yang mungkin dapat meruntuhkan semangat perpaduan di kalangan rakyat. Terapkan ke dalam minda mereka bahawa sekiranya ada isu yang melibatkan pihak yang berlainan kaum, maka mereka tidak seharusnya meletakkan kesalahan itu ke atas sesuatu kaum sebaliknya ia hanyalah permasalahan di antara individu yang terlibat.

Sekiranya rakyat Malaysia masih lagi tidak sedar dan tidak berusaha untuk memelihara silaturahim sesama kaum di negara ini, maka pelbagai kesan dan impak pasti akan timbul. Antaranya kesan yang boleh dilihat dengan jelas adalah tiada lagi amalan tolong-menolong dan hilang rasa hormat di antara satu sama yang lain. Seterusnya akan menyebabkan keruntuhan institusi moral di kalangan masyarakat.

Selain itu, ia juga akan menyebabkan negara berada dalam keadaan huru-hara dan menggugat kestabilan ekonomi negara. Hal ini kerana berlakunya pertelingkahan akibat rasa ketidakpuasan hati di kalangan kaum-kaum di Malaysia hingga mengakibatkan produktiviti rakyat dan negara terhenti. Ini secara tidak langsung turut mengakibatkan kejatuhan matawang dan penarikan diri para pelabur asing hingga menjejaskan pendapatan negara.

Perpaduan di antara kaum adalah kunci kepada kejayaan dan kesejahteraan negara. Oleh itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya peka dan bijak dalam menilai segala berita yang disampaikan oleh sumber-sumber yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Lebih-lebih lagi apabila kini kita hidup dalam zaman teknologi canggih di mana cerita dan fitnah disebarkan secara meluas seperti surat berantai.

Justeru, rakyat Malaysia digalakkan untuk mengekalkan perpaduan di kalangan kaum dan menjaga sensitiviti antara satu sama lain agar kestabilan negara dapat dipelihara. Jangan sesekali mengamalkan sifat rasis yang akan membinasakan keutuhan dan keharmonian hubungan erat di negara ini. Ingat! Tiada siapa atau negara mana yang akan menolong Malaysia apabila ditimpa musibah, hanya silaturahim dan keutuhan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini saja yang mampu mengekalkan kestabilan negara daripada anasir-anasir jahat yang cuba untuk meruntuhkan institusi perpaduan di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here