Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan dua kursus wajib baharu di universiti awam (UA) bermula sesi pengambilan 2019/2020. Dua kursus baharu tersebut merupakan pendidikan bereteraskan nilai iaitu kursus Falsafah dan Isu Semasa serta kursus Penghayatan Etika dan Peradaban.

Dua kursus baharu ini merupakan sambungan kepada pendidikan sivik di sekolah – Maszlee Malik

Menurut Menteri Pendidikan YB Maszlee Malik, kedua-dua kursus ini wajib diambil mahasiswa dan menjadi prasyarat untuk mereka sebelum menamatkan pengajian. Ia merupakan salah satu hala tuju sistem pendidikan negara dan merupakan sambungan kepada pendidikan sivik di sekolah supaya diteruskan di peringkat pengajian tinggi.

Ini merupakan pengkhabaran terbaru daru Kementerian Pendidikan selepas pengumuman 38 program digugurkan di UA akibat ketidakrelevanan dalam pasaran kerja. Objektif yang ingin disampaikan kerajaan adalah memastikan mahasiswa keluaran universiti memiliki pemikiran yang tinggi, mulia peribadi dan sentiasa cuba menyelesaikan masalah masyarakat.

Dengan melalui pendidikan, ia dapat menentukan pemikiran rakyat yang bakal menentukan hala tuju negara dari segi pembangunan, ekonomi dan juga politik. Konsep pembelajaran ilmu falsafah kepada mahasiswa ini boleh dianggap penting kerana mahasiswa perlu berfikir dalam pelbagai sudut dan menganalisa masalah untuk mencari penyelesaian.

Malah, ia dapat melahirkan mahasiswa yang boleh mengambil berat terhadap isu-isu semasa melibatkan negara dan mempunyai tahap kesedaran sivik tinggi apabila mereka menghadapi alam pekerjaan kelak.

Oleh kerana itu, pengenalan dua kursus ini mendapat reaksi baik daripada pelbagai pihak kerana apabila graduan keluar dari universiti mereka bukan sahaja mempunyai ijazah tetapi mempunyai etika yang diperlukan oleh majikan. Ijazah kini tidak menjamin kualiti graduan jika mereka tidak mempunyai nilai etika yang baik dan langkah kerajaan ini adalah tepat untuk para graduan.

Lepasan graduan bukan sahaja memiliki Ijazah tetapi memiliki etika yang diperlukan majikan

Walau bagaimanapun, ada pihak mahu kerajaan memastikan tenaga pengajar dalam kursus ini betul-betul lahir daripada bidang falsafah. Ini kerana banyak universiti di Malaysia tidak menawarkan kursus falsafah dan tenaga pengajar yang mahir dalam falsafah sangat kurang. Jika tidak, pelaksanaannya akan menjadi kurang konsisten dan tidak memberi impak positif.

Maka, tindakan kerajaan memperkenalkan kursus-kursus ini diharapakan dapat memberi impak positif kepada mahasiswa supaya mereka boleh menjadi graduan berkualiti dari segi akademik dan nilai etika. Tetapi, pelaksanaan kursus ini harus dirangka dengan baik dari segi isi kandungan pengajaran serta tenaga pengajar mencukupi dan dari bidang yang mahir dalam falsafah.

Pengenalan kursus baharu tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa jika tidak isi penting kursus tersebut tidak sampai kepada mahasiswa dan ianya hanya akan membazirkan masa serta wang. Ini kerana pengenalan kursus-kursus baru ini dikhabarkan akan ‘mengorbankan’ subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dalam UA jadi ia tidak boleh dilakukan secara lewa oleh pihak Kementerian Pendidikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here