Hari ini merupakan hari ketiga bagi operasi perkhidmatan bas mini yang diwujudkan semula oleh syarikat pengangkutan awam, Rapid Bus Sdn. Bhd. Perkhidmatan bas ini diwujudkan sebagai sebahagian inisiatif syarikat terbabit dalam memberikan perkhidmatan lebih baik dan kerap kepada para penumpang. Sebagai permulaan, tempoh percubaan selama tiga bulan dilaksanakan bermula dari 1 September hingga 29 November akan datang dan ia bermula dari hab Bukit Indah ke Ampang Point.

Walau bagaimanapun, kewujudan semula perkhidmatan bas ini ternyata mengundang pelbagai persepsi dari pelbagai pihak. Manakan tidak, dalam keadaan Malaysia kini sedang mengejar status sebagai negara maju, wajarkah pemikiran terkebelakang ini ‘diaktifkan’ semula? Ada pihak yang mempersoalkan kewajaran perkhidmatan ini sedangkan negara-negara lain yang sama seiring dengan Malaysia sudah memulakan langkah ke hadapan dengan pelbagai jenis pengangkutan awam yang lebih maju seperti kereta api terpantas dan prototaip kereta terbang.

Namun apa yang tidak diketahui, kewujudan semula perkhidmatan ini dapat memberikan kelebihan seperti memudahkan rakyat dalam menggunakan pengangkutan awam dengan lebih kerap dan selesa. Ini kerana perkhidmatan baru yang diperkenalkan semula oleh syarikat Rapid ini dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan antara 15 minit dan 20 minit selain dapat meningkatkan kekerapan perjalanan kepada 15 kali sehari.

Bas mini mula diperkenalkan dalam negara pada tahun 1975

Selain itu, ia juga dapat memberikan kelebihan dari segi kemudahan laluan ke tempat-tempat yang mempunyai laluan kecil. Ini kerana dengan keberadaan bas mini ini, ia dapat memudahkan para pengguna terutamanya yang mempunyai had pergerakan agar mereka tidak perlu berjalan jauh untuk mendapatkan khidmat pengangkutan awam sedemikian.

Sejauh mana mod pengangkutan awam ini mampu memberikan impak kepada pengguna? Sudah semestinya ia memberi kesan terhadap penjimatan belanja ke atas bayaran tambang bas. Hal ini kerana perkhidmatan bas mini yang diusahakan semula masih lagi mengekalkan tambang sehala semurah 80 sen. Jadi, ia sudah tentu akan menjadi pilihan kepada rakyat Malaysia kelas B40 dalam menjimatkan kos perbelanjaan terhadap pengangkutan awam.

Sementara itu, satu tinjauan ke atas pelbagai laman sosial mendapati penerimaan rakyat ke atas pelaksanaan perkhidmatan bas mini ini berada pada tahap sederhana. Ini kerana rata-rata mereka mempersoalkan kewajaran pelaksanaan semula perkhidmatan bas mini sedangkan negara seharusnya memikirkan soal masa depan dengan berinjak selangkah ke hadapan dalam memajukan industri pengangkutan awam di negara ini.

Kini perkhidmatan bas mini lebih efisien

Di samping itu, ada juga segelintir netizen yang menjadikan isu ini sebagai bahan lawak mereka di platform media sosial. Mereka seolah-olah memperlekehkan usaha Rapid Bus dalam memberi keselesaan kepada penumpang. Ada juga segelintir netizen yang menganggap bahawa pelaksanaan semula bas mini ini sebagai satu pembaziran kerana di Malaysia ini sudah terdapat banyak pengangkutan awam dan ini semestinya akan menambahkan kesesakan di atas jalan raya.

Walau apapun alasannya, ternyata usaha Rapid Bus dalam mengembalikan ‘nostalgia’ bas mini ini wajar dihargai oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Hal ini kerana mereka sedar yang keselesaan rakyat negara ini dalam menuju ke destinasi amatlah penting. Atas alasan itu, mereka cuba untuk mengembalikan ‘nostalgia’ tetapi masih lagi mengekalkan bentuk kemodenan seiring dengan arus perdana. Justeru, usaha murni ini perlu disokong agar ia mendapat sambutan seterusnya menjadikan perkhidmatan ini kekal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here