Isu berkaitan dengan sektor pendidikan melibatkan kemasukan ke Universiti Awam (UA) dan program matrikulasi telah menjadi perbualan ramai pihak sejak kebelakangan ini. Ia disebabkan oleh keputusan kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan untuk mengekalkan kuota kemasukan ke UA dan program matrikulasi tetapi meningkatkan kemasukan pelajar dari 25,000 kepada 40,000 pelajar.

Keputusan kerajaan tersebut diumum sendiri oleh Menteri Pendidikan, YB Maszlee Malik setelah Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan peningkatan kemasukan pelajar tersebut. Jika mengikut daripada sejarah pendidikan sebelum ini, 90 peratus kuota dimiliki bumiputera dan selebihnya sebanyak 10 peratus dimiliki oleh bukan bumiputera.

Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk tingkatkan jumlah kemasukan pelajar sebanyak 40,000 orang menurut YB Maszlee

Menurut Naib Cancelor UUM, Prof Dr Ahmad Bashawir, keputusan Jemaah menteri itu amat adil kerana selari dengan matlamat asal program matrikulasi samasa ia diperkenalkan untuk membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan pra-universiti yang berkualiti bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

Kementerian Pendidikan juga menyatakan dalam kuota tersebut, sejumlah 60 peratus kemasukan adalah untuk golongan B40 dan baki 40 peratus akan diberikan kepada golongan M40 (berpendapatan sederhana) serta T20 (berpendapatan tinggi). Ia merupakan berita baik kerana selepas ini lebih ramai pelajar dari golongan B40 dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi menerusi program matrikulasi.

Golongan B40 perlu diberikan keutamaan kerana masih ramai lagi pelajar cemerlang dari kumpulan ini tercicir dari melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana faktor kewangan. Program matrikulasi sekurang-kurangnya mampu membantu meringankan beban kewangan pelajar kerana mereka mendapat Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP) sebanyak RM250 sebulan atau RM1250 satu semester.

Di samping itu, program matrikulasi ini dapat membuka laluan kepada pelajar cemerlang B40 tersebut kerana matrikulasi menjadi menjadi ‘jalan pintas’ untuk kemasukan ke UA terkemuka seperti UiTM, UUM, UKM, UM dan banyak lagi. Jadi tidak ada lagi pelajar cemerlang dari B40 akan tercicir dari mendapat pendidikan tinggi dan seterusnya membantu kehidupan keluarga mereka kelak.

Ramai pihak melihat program matrikulasi adalah jalan pintas untuk memasuki Universiti Awam

Perkara ini turut dipersetujui Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Azmin Ali kerana pihak kerajaan komited untuk membantu golongan kurang berkemampuan supaya mendapat pendidikan tinggi sama ada melalui matrikulasi atau program lain. Beliau juga merasakan isu ini adalah isu yang fundamental dan tidak ada pertikaian mengenai perkara tersebut kerana apa yang penting adalah mereka perlu dibantu.

Justeru, tindakan kerajaan perlu dipersetujui ramai pihak bagi mengelakkan ramai pelajar cemerlang dari golongan B40 tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi lagi. Peningkatan pelajar ke program matrikulasi dapat membantu pelajar dari keluarga Melayu, Cina dan India masuk UA yang sebelum ini dikuasai oleh pelajar Melayu sahaja.

Tetapi kerajaan perlu memastikan peningkatan kemasukan ke matrikulasi ini tidak menjejaskan kemasukan pelajar yang mengambil Sijil Peperiksaan Tinggi Malaysia (STPM) ke UA. Peningkatan populariti kemasukan ke matrikulasi ini boleh membuatkan STPM kelihatan tidak menarik walaupun STPM diiktiraf setaraf A-level di peringkat antarabangsa. Maka, kerajaan juga perlu menggalakkan pelajar cemerlang B40 untuk kemasukan ke peringkat tingkatan 6 pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here