Kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal adalah yang tertinggi di negara ini. Jika kita lihat pada statistik sebelum ini hampir 7000-8000 kes kemalangan jalan raya telah dicatatkan, 62 peratus daripada jumlah tersebut adalah membabitkan motosikal.

Oleh itu, sebagai langkah atau inisiatif oleh pihak kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal, mereka telah membina laluan khas bagi motosikal di seluruh negara ini. Kos keseluruhan pembinaan laluan khas motosikal di seluruh negara adalah kira-kira sebanyak RM140 juta.

Keselamatan para penunggang motosikal lebih terjamin apabila menggunakan laluan motosikal

Namun, apa yang menghairankan kini adalah pengguna motosikal di Malaysia tidak mahu memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan dengan sebaik mungkin. Mereka merasakan bahawa laluan khas ini akan lebih memanjangkan lagi jarak serta masa perjalanan mereka kerana mereka tidak dapat membawa motorsikal dengan kelajuan yang mereka kehendaki.

Selain itu, faktor keselamatan juga merupakan salah satu sebab mengapa mereka tidak mahu menggunakan laluan khas tersebut. Pada waktu malam pula laluan tersebut adalah sangat tidak selamat kerana keadaan kawasan yang gelap dan agak berbahaya untuk penunggang motorsikal melaluinya.

Hakikat sebenarnya, laluan khas sebegini mampu untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa penunggang motorsikal di negara ini. Hal ini kerana sebanyak 3/4 kes kemalangan motorsikal melibatkan perlanggaran dengan kenderaan penumpang lain seperti kereta, lori dan lain-lain. Hanya 1/4 kes kemalangan disahkan sebagai kemalangan kenderaan tunggal tanpa melibatkan kenderaan lain seperti terjatuh sendiri atau terlanggar objek di atas jalan.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan perlu mengambil beberapa langkah supaya rakyat sedar mengenai kepentingan menggunakan laluan khas bagi penunggang motorsikal ini. Dari segi keselamatan, pihak berkuasa seperti pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) perlu bersama dengan pihak kerajaan untuk berbincang bagi meningkatkan kualiti laluan khas tersebut.

Tahap keselamatan laluan motosikal juga perlu diberikan perhatian oleh pihak berwajib

Para penunggang yang tidak melalui laluan motorsikal perlu dikenakan denda atau kompaun kepada golongan yang tidak mahu mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Dengan langkah ini sedikit sebanyak mampu mendidik mereka untuk lebih menghargai segala kemudahan yang telah disediakan terhadap mereka.

Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan diri kita berada di dalam keadaan selamat semasa berada di jalan raya. Pilihan ada di tangan anda sama ada ingin memilih jalan yang lebih selamat atau yang terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here