Kehadiran motorsikal di laluan utama jalan raya telah menimbulkan rasa tidak senang bagi pengguna yang memandu kereta dan mereka yang menunggang motosikal di laluan tengah dan kanan jalan raya dianggap bahaya kerana lebih berisiko untuk berlakunya kemalangan. Sebagai langkah keselamatan terhadap para penunggang motosikal, kini hampir semua jalan raya di Kuala Lumpur dan juga bandar-bandar lain sudah mempunyai laluan motosikal.

Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila laluan motorsikal kini telah berubah menjadi medan berlakunya kemalangan. Terbaru adalah kemalangan yang telah mengorbankan 2 nyawa pasangan suami isteri di Lebuhraya Persekutuan. Kemalangan sebegini bukanlah satu kejadian yang baru berlaku sebaliknya sebelum ini juga sudah terdapat banyak kes kemalangan maut yang berlaku di laluan motorsikal.

Kemalangan yang mengorbankan nyawa sepasang suami isteri

Antara faktor dan sebab sering berlakunya kemalangan di kawasan tersebut adalah kerana keadaan jalan yang tidak dibaikpulih. Terdapat banyak jalan yang berlubang, pecah serta laluan yang sempit dan gelap membuatkan keadaan ini akan memberikan risiko terhadap para penunggan motorsikal yang melalui laluan itu. Faktor jenis motorsikal juga perlu diambil kira dalam hal ini. Motorsikal berkuasa tinggi dilihat tidak sesuai menggunakan laluan motorsikalo kerana jalan yang sempit akan menyukarkan penunggangnya untuk memotong. Jika tidak diberikan perhatian dalam hal ini ia akan menyebabkan lebih banyak berlakunya kemalangan.

Keadaan laluan motor yang tidak selamat membahayakan pengguna

Selain itu, ada juga golongan yang tidak bertanggungjawab telah menaburkan paku dan kaca di jalan. Kelakuan ini jelas sekali akan membahayakan nyawa ramai orang dan membuatkan orang ramai takut dan tidak berani untuk melalui jalan tersebut. Ramai penunggang motosikal di lebuh raya yang mempunyai laluan khas takut untuk menggunakan laluan itu, dan lebih rela disaman polis daripada mengambil risiko membahayakan diri.

Bagi menangani masalah ini pihak PDRM juga perlu membuat rondaan berkala di semua laluan motosikal yang dirasakan berisiko tinggi berlakunya jenayah serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) juga perlu meningkatkan kualiti laluan khas penunggang motosikal agar kemudahan itu selamat, lebar dan selesa digunakan.

Justeru itu, diharapkan kepada para penunggang motorsikal agar sentiasa berhati-hati apabila melalui laluan tersebut. Kawal kelajuan motorsikal anda agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini dan sentiasa mengambil ikhtibar daripada kes-kes kemalangan yang telah berlaku sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here