Isu pelantikan jawatan awam utama kini menjadi isu utama kepada orang ramai kerana melibatkan individu bukan dari badan kerajaan dan juga bekas pemimpin politik untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan. Jawatan awam utama adalah individu yang menjawat jawatan tinggi seperti Peguam Negara, Panglima Angkatan Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya dan lain-lain.

Pelantikan jawatan awam utama dalam sektor Kerajaan dan Badan Berkanun ini dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) setelah disyorkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Kuasa pelantikan oleh YDPA adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta dari agensi kerajaan atau badan berkanun. Jadi, sebarang keputusan pelantikan daripada YDPA adalah mutlak dan tanpa perlu melalui persetujuan Kabinet.

Pelantikan jawatan awam utama hanya boleh dilakukan setelah mendapat perkenan YDPA

Walau bagaimanapun, untuk memastikan ketulusan dalam pelantikan jawatan awam utama, kerajaan Pakatan Harapan telah memperkenalkan Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama (PSC). Ianya berfungsi sebagai peneliti dalam pelantikan awam utama seperti ahli SPR, SPRM dan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman dan tidak perlu mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri.

Fungsi PSC bukanlah untuk melantik atau meluluskan pelantikan jawatan utama awam tetapi hanya untuk semak dan imbang keputusan eksekutif. Maka, sebarang keputusan dalam menentukan pelantikan ini tetap di bawah kuasa Perdana Menteri sahaja. Perdana Menteri juga tidak perlu mendapatkan nasihat dari mana-mana jawatankuasa yang ada dalam kerajaan jika tidak ada peruntukan undang-undang yang boleh mengubah keputusan Perdana Menteri tersebut.

Jika ada jawatankuasa yang mempunyai peruntukan undang-undang tersebut, rakyat akan melihat kuasa Perdana Menteri adalah terhad dan boleh dipengaruhi oleh orang lain yang mempunyai agenda tersendiri. Akan tetapi, keputusan Perdana Menteri melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM baru iaitu bekas peguam, Latheefa Koya juga mendapat maklum balas berbeza dari rakyat.

Setakat ini, rakyat melihat keputusan kerajaan melantik Datuk Nor Shamsiah sebagai Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Datuk Seri Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara dan Datuk Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara adalah keputusan yang tepat kerana mereka mempunyai pengalaman luas serta mempunyai latar belakang sama untuk penjawatan tersebut.

Pelantikan Latheefa Koya sebagai KP SPRM telah mengundang persoalan ramai pihak

Tetapi, perlantikan Latheefa Koya yang tidak mempunyai kaitan dengan SPRM dan juga merupakan bekas ahli politik telah menjadi kebimbangan rakyat. Rakyat dilihat tidak mempertikaikan keputusan Perdana Menteri kerana ia adalah hak beliau tetapi rakyat mahukan penjelasan tentang kenapa Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dilantik dari kalangan pegawai SPRM sendiri sama seperti Angkatan Tentera Malaysia dan juga Polis DiRaja Malaysia.

Justeru, masyarakat perlu tahu tentang apa-apa keputusan tentang pelantikan jawatan awam utama ini adalah hak Perdana Menteri dan bukan PSC kerana ianya sudah termaktub dalam undang-undang. YDPA juga sudah pasti membuat keputusan bijak untuk memberi perkenan dengan pelantikan yang disyorkan oleh Perdana Menteri sendiri dan calon tersebut sudah pasti mampu menjalankan kerja dengan baik.

Persoalan siapa yang dilantik hanya Perdana Menteri sahaja tahu dan sudah pasti Perdana Menteri sudah memberi pertimbangan terbaik sebelum membuat apa-apa keputusan. Diharapkan agar mana-mana individu yang memegang jawatan awam utama tersebut dapat menjalankan tugas dengan penuh integriti tanpa dipengaruhi agenda luar dan membuktikan keputusan Perdana Menteri adalah tepat untuk kebaikan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here