Selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya ‘merampas’ kerusi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018 dan berjaya membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah.  Pada awal pembentukan kerajaan, rakyat dapat melihat keghairahan pemimpin-pemimpin kerajaan baharu ini dalam menyusun semula agensi-agensi kerajaan yang didapati menjalankan peranan, fungsi dan tugas yang bertindih sekali gus mengurangkan jumlah penjawat awam yang dikatakan dapat menjimatkan kos pengurusan negara.

Penjawat awam yang dikatakan dilantik melalui lantikan politik daripada kerajaan terdahulu juga antara yang paling banyak menerima kesan apabila terpaksa ditamatkan kontrak mereka. Alasan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin ini ialah mereka mahu ‘Malaysia Baharu’ bebas daripada mana-mana lantikan dan pengaruh politik. Dalam erti kata mudah, ini ialah proses pembersihan untuk kerajaan PH.

Tetapi sejauh mana kerajaan PH dapat memberi jaminan bahawa tidak akan ada sebarang lantikan politik di dalam syarikat milik kerajaan (GLC) sepanjang pemerintahan. Laporan yang dikeluarkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan ditulis oleh Profesor Edmund Terence Gomez, iaitu Felo Kanan IDEAS dan Profesor UM yang bertajuk “Government in Business: Diverse Forms of Intervention” menyatakan bahawa parti PKR dan DAP telah meletakkan ramai pemimpin kanan parti sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat GLC strategik negeri dan anak syarikat milik kerajaan.

Di Selangor, mantan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali telah menggunakan Perbadanan Menteri Besar (MBI) untuk memonopoli penguasaan dalam syarikat penting GLC negeri melalui lantikan politik seperti Kumpulan Darul Ehsan Berhad dan Kumpulan Perangsang Selangor yang mempunyai pegangan dalam pelbagai sektor seperti logistik, pengurusan sisa, pembinaan dan pertanian.

Senarai ahli lembaga pengarah bagi syarikat GLC milik negeri Selangor

Masih ada segelintir pihak yang berpendapat bahawa lantikan politik dalam GLC ini tidak wajar berlaku kerana tidak mahu wujudnya unsur-unsur rasuah di dalam pentadbiran syarikat. Kerajaan terdahulu juga pernah melakukan perkara yang sama iaitu melantik ahli politik di bawah parti pimpinan mereka untuk menerajui GLC. Secara dasarnya lantikan ini penting untuk memastikan kesefahaman dalam urus tadbir. Siapa yang menerajui GLC bukanlah suatu perkara penting, tetapi attitude individu yang menerajui GLC itu, kerana kerajaan seharusnya memikirkan tujuan utama syarikat GLC ditubuhkan serta akauntabiliti dan ketelusan dalam urus tadbir perlu diberi keutamaan.

Tetapi lantikan ahli politik di kalangan pemimpin kerajaan PH telah mendapat sindiran daripada Khairy Jamaluddin yang mengingatkan semula tentang janji PH dalam manifesto semasa PRU-14 bahawa tiada lantikan politik untuk menerajui syarikat GLC, sebaliknya ahli lembaga pengarah perlu dipilih dalam kalangan golongan professional.

Khairy Jamaluddin menyindir kerajaan PH apabila melantik dua orang pemimpin tertinggi PPBM mengetuai agensi milik kerajaan

Secara logiknya, hanya ahli politik yang berkelayakan dalam bidang professional dan mampu untuk memimpin syarikat GLC serta mempunyai merit berdasarkan kemahiran layak untuk duduk di kerusi ahli lembaga pengarah. Ahli politik yang menerajui GLC ini secara umumnya mempunyai persefahaman untuk memahami setiap dasar-dasar kerajaan persekutuan. Pemimpin-pemimpin ini juga memahami setiap keperluan rakyat dan apakah yang diperlukan untuk pembangunan negara.

Persoalannya, adakah attitude ahli-ahli politik yang memegang jawatan ahli lembaga pengarah GLC ini bersih daripada sebarang kontroversi rasuah, kerana menurut IDEAS antara punca utama amalan rasuah yang berlaku dalam syarikat GLC adalah disebabkan lantikan ahli politik sebagai lembaga pengarah. Lembaga pengarah ini merupakan pemegang amanah awam tetapi tindakan mereka tidak menggambarkan sedemikian.

Justeru itu, untuk mengelakkan sebarang polemik, spekulasi dan kontroversi kerajaan perlu menyediakan satu garis panduan seperti mana-mana individu yang dilantik untuk menerajui GLC, wajar menarik diri atau meletakkan jawatan di dalam mana-mana parti politik yang terlibat. Kita tidak mahu rakyat berterusan memandang serong kepada kerajaan. Rakyat mengimpikan kerajaan yang telus dan amanah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here