Sukar sebenarnya untuk sentiasa bersangka baik jika ada isu yang melibatkan arak. Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila seorang lelaki dilihat berjalan tanpa pakaian di hadapan bangunan Daya Bumi. Lelaki berkenaan dikatakan mengambil minuman keras secara berlebihan. Lain pula kisahnya apabila seorang wanita warga China yang dipercayai mabuk merempuh penunggang motosikal hingga maut berhampiran lampu isyarat di Georgetown.

Bayangkan jika pihak berkuasa memberi kelonggaran untuk minum arak di tempat awam. Pasti isu-isu seperti kisah di atas akan sentiasa menjadi ‘halwa telinga’ masyarakat Malaysia. Mudah sahaja kesimpulannya, arak itu bukan sahaja memberikan mudarat kepada si peminum, malahan ianya juga memberikan kesan yang negatif kepada orang di sekeliling.

Kejadian bogel yang berlaku di hadapan bangunan Daya Bumi

Maka langkah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor untuk memasang papan tanda peringatan bagi melarang meminum minumam keras di taman awam wajar diberikan sokongan yang positif oleh masyarakat sekeliling. Motif pemasangan papan tanda ini bagi menjaga keselesaan dan ketenteraman orang awam.

Sebelum ini Adun Rawang, Chua Wei Kiat mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Selangor dalam mengatasi kekecohan yang dilakukan peminum arak di kawasan awam. Walau bagaimanapun, Exco Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han menyatakan bahawa pihaknya tidak pernah mewujudkan peraturan atau larangan untuk meminum arak di tempat awam.

Pihak PBT hanya mensyaratkan waktu operasi penjualan minuman keras mengikut waktu yang dibenarkan iaitu sehingga jam 9 malam dan memastikan pelanggan tidak minum minuman keras di depan premis serta tempat terbuka. Malah Kerajaan Selangor juga menetapkan jarak operasi premis perniagaan minuman keras dari rumah ibadat.

Wajar sebenarnya apabila pihak berkuasa tempatan mengambil langkah memasang papan tanda peringatan bagi melarang meminum arak di tempat awam. Namun apa yang mahu dipersoalkan adalah sejauh mana peringatan seperti itu mampu diikuti oleh masyarakat sekeliling.

Adakah larangan minum arak di tempat awam juga akan dipandang remeh?

Awal tahun ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pernah mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini. Jarak tiga meter  diwartakan kepada perokok yang mahu merokok dari premis atau restoran yang dikunjungi. Tetapi adakah arahan itu benar-benar dipatuhi oleh perokok? Jika diperhatikan masih ramai lagi perokok-perokok tegar yang memandang ringan arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Isu yang sama mahu dikaitkan berkaitan dengan arahan larangan meminum minuman keras di tempat awam. Pihak kerajaan hanya mampu mengeluarkan arahan dan mewartakan      undang-undang, namun adakah sebarang tindakan yang diambil jika terdapat individu yang ingkar pada arahan itu?

Arak itu lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding kebaikan. Maka apa juga arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan wajar dipatuhi oleh individu-individu yang berkaitan. Ini bukan soal tentang hak kebebasan, ia berkaitan dengan moral dan sikap bertimbang rasa pada masyarakat sekeliling.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here