Isu pembayaran cukai pendapatan sering menjadi topik hangat bagi rakyat yang kurang berpuas hati dan menganggap membayar cukai ini adalah satu bebanan kepada mereka. Walaupun pembayar cukai sedar akan tanggungjawab mereka ini, namun segelintirnya masih lagi culas untuk melaksanakannya. Oleh itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ingin LHDN memburu individu termasuk menteri dan bekas menteri yang lari daripada membayar cukai.

Tindakan kerajaan untuk memburu individu atau sektor korporat yang lari daripada membayar cukai ini adalah wajar agar dapat mendidik rakyat bahawa pentingnya menggalas tanggungjawab membayar cukai dan mereka mesti patuh kepada undang-undang cukai serta membayar cukai dengan betul.

LHDN akan memburu individu termasuk Menteri dan bekas Menteri yang lari daripada membayar cukai

Individu atau sektor korporat yang culas dalam menjelaskan cukai atau mengelak daripada membayar cukai berhadapan dengan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967. Individu yang sengaja culas membayar cukai ini patut dikenakan tindakan yang tegas agar menjadi pengajaran kepada masyarakat. Tindakan mengisytiharkan muflis, denda atau penjara kepada individu dan badan korporat yang gagal membayar cukai perlu dijadikan hukuman terhadap golongan ini agar menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Tindakan yang tegas perlu diambil kepada golongan yang culas membayar cukai kerana cukai merupakan elemen terpenting dalam sumber hasil kerajaan. Melalui sistem pungutan cukai yang efisien dan teratur, negara mampu menjana hasil yang tinggi serta stabil sekaligus adalah untuk kebaikan rakyat.

Hal ini kerana, cukai yang dikutip oleh kerajaan akan dibelanjakan bagi tujuan pembangunan negara seperti keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah serta pembangunan ekonomi. Manakala dari segi pembangunan sosial adalah seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebajikan rakyat dan banyak lagi.

Cukai yang dikutip oleh kerajaan dibelanjakan untuk tujuan pembangunan negara

Oleh itu, setiap individu perlu memahami bahawa hasil cukai yang diperolehi oleh kerajaan melalui kutipan cukai daripada rakyat akan dipulangkan kembali kepada rakyat. Cukai ini bukanlah untuk membebankan rakyat namun ia adalah win-win situation di antara kerajaan dan rakyat. Mungkin ramai yang terlepas pandang bahawa sebahagian kejayaan dan pembangunan negara yang dikecapi hari ini adalah hasil sumbangan kutipan cukai yang dibayar oleh rakyat.

Justeru itu, kerajaan perlu merangka mekanisme yang terbaik agar dapat menangani ketirisan pengelak cukai ini sekaligus dapat memantau dan mengatasi masalah ini. Tidak dapat dinafikan bahawa sistem percukaian di Malaysia setanding dengan negara-negara luar namun terdapat ruang-ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk memantapkan lagi sistem percukaian yang ada sehinggakan golongan opportunis tidak mampu mengambil kesempatan terhadap sistem percukaian negara.

Oleh yang demikian, LHDN pula perlu sentiasa mengemaskini strategi berasaskan keperluan semasa dan juga mempelajari amalan percukaian negara-negara lain yang boleh diaplikasikan dalam konteks Malaysia agar dapat mengutip cukai dengan lebih adil, telus dan efisien.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here