Penduduk Kampung Baru sudah berbelah bagi apabila Menteri Wilayah mula membuat tawaran membeli tanah-tanah rizab Melayu di Kampung Baru pada kadar RM850 sekaki persegi bagi tujuan pembangunan. Nilai itu mungkin kelihatan banyak jika setiap penduduk mempunyai keluasan tanah sehingga 743 meter persegi, tetapi jika rata-ratanya hanya mempunyai keluasan 300m persegi, mungkin nilai itu hanya sama dengan satu unit rumah 3 bilik di Setia Sky bersebelahan dengan Kampung Baru. Nilainya cuma RM1.3juta.

Khalid Samad ada berjanji bahawa kawasan Kampung Baru akan kekal milik Bumiputera sepenuhnya. Jarang kita berjumpa dengan individu yang berpegang pada janji terutama jika melibatkan politik dan wang. Bukan mahu memberikan tanggapan yang negatif, tetapi undang-undang seperti ini boleh diubah dengan mudah di Dewan Rakyat atau dalam mesyuarat Exco sahaja.

Ada menteri yang malu dengan pelancong apabila beliau mengeluarkan kenyataan kampung itu terlalu mundur, maka pembangunan moden perlu dilakukan segera. Namun jika benar mahu ia dibangunkan, bagaimana kerajaan boleh membangunkannya dalam keadaan maruah dan hak Melayu ini terpelihara. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ke-4 juga ‘putus asa’ untuk membangunkan Kampung Baru kerana kos pengambilan yang tinggi.

Satu-satunya ‘Rumah Degil’ milik Nenek Norma di Chow Kit yang tidak mahu berpindah

Kampung Baru mula berubah wajah namun dikekalkan ciri ‘kekampungan’nya semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak (DSN). Pembangunan tidak boleh mengorbankan warisan. DSN pernah berjanji bahawa tidak akan ada campur tangan daripada pihak swasta di atas pembangunan dan pemulihan Kampung Baru. Penduduk di sana diberikan hak untuk menentukan corak pembangunan yang mereka mahu.

Zink dan bumbung rumah penduduk yang berkarat diberikan peruntukkan supaya berubah wajah. Kerajaan terdahulu mengeluarkan RM2 juta untuk membaik pulih luaran flat PKNS yang usang. Masjid Kampung Baru mula dinaik taraf pada tahun 2012. Peruntukkan sebanyak RM20 juta diambil melalui Yayasan 1MDB. Empat tahun kemudian, ikonik Kampung Baru itu mula menerima projek pencahayaan dengan tambahan RM1.5juta.

Itu belum lagi bercerita mengenai projek MRT yang pada asalnya tidak melalui Kampung Baru, dilencongkan laluannya bagi memasuki kawasan penduduk. Kos tambahan ditanggung oleh pihak kerajaan. Secara keseluruhan lebih RM100 juta diperuntukkan untuk infrasturktur dan baik pulih di Kampung Baru.

Bukan mahu memuja kerajaan terdahulu, tetapi Khalid Samad perlu mencontohi apa yang telah dilakukan oleh DSN untuk terus memelihara dan memulihara Kampung Baru sebagai ikonik Kuala Lumpur.

Masjid Kampung Baru yang mendapat peruntukkan daripada Yayasan 1MDB

Pembangunan tidak perlu ditolak, tetapi warisan juga perlu dijaga untuk rujukan generasi akan datang. Agak pelik sebenarnya apabila kerajaan Malaysia terlalu mengagungkan pembangunan moden, sedangkan khazanah pembangunan warisan dibiar sepi malahan terus dirobohkan seperti Penjara Pudu yang mahu dibangunkan pusat membeli belah.

Kampung Morten di Melaka wajar menjadi contoh terdekat untuk mengekalkan warisan Kampung Baru. Lihat bagaimana pihak berwajib agensi kerajaan seperti Perbadanan Muzium Melaka, Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Bandaraya Melaka dan sebagainya memberi perhatian untuk memelihara dan memulihara kampung itu agar kekal menjadi perkampungan warisan.

Kampung Baru mungkin boleh digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia atau perkampungan warisan untuk pelancongan. Khalid Samad perlu tahu pelancong datang ke negara ini untuk mempelajari budaya yang tiada di negara mereka. Bukannya mahu melihat Louis Vuitton, Butik Chanel, Burberry atau Hermes yang sudah ada di negara mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here