Seperti upacara tahunan, hampir setiap penghujung tahun pasti rakyat Indonesia, Malaysia dan Singapura terus ‘berebut’ untuk mendapatkan sumber oksigen bersih. Mahu tidaknya masalah jerebu umpama satu ‘acara wajib’ yang terus melanda tiga buah negara ini.

Puncanya bermula daripada pembakaran hutan yang berlaku di Indonesia. Namun pihak kerajaan Indonesia menafikan bahawa jerebu yang melanda negara jiran mereka berpunca daripada hutan di Kalimantan dan Sumatera. Bahkan kerajaan Malaysia pula disalahkan dan dikatakan sebagai punca kepada masalah jerebu teruk yang berlaku di sekitar Sarawak dan Johor.

Kebakaran hutan yang berlaku di Indonesia

Tidak perlu rasanya terus menuding jari, sedangkan rakyat tiap-tiap tahun ‘kelemasan’ dalam asap jerebu tanpa sebarang jalan penyelesaian yang menunjukkan isu seperti ini tidak akan timbul lagi. Rasanya kematian bayi berusia empat bulan akibat jerebu sudah cukup untuk memberi kesedaran kepada si pelaku.

Di Malaysia, daerah Sri Aman, Sarawak antara yang paling terjejas sehingga bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) hampir mencecah 400 bermakna di paras merbahaya. Namun pengisytiharaan darurat bencana hanya boleh diumumkan jika indeks bacaan IPU mencecah 500.

Andainya Sarawak diumumkan darurat, ianya tidak akan melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung dan juga tidak ada perubahan corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri Sarawak. Sarawak pernah diumumkan darurat bencana pada 19 September 1997 apabila Bacaan IPU negeri itu melebihi 650, paras ‘berbahaya’ paling tinggi dalam sejarah.

19 September 1997-Darurat bencana di Sarawak

Negara pernah mengalami masalah jerebu ‘import’ yang dashyat pada tahun 1997 dan 2015. Walaupun Malaysia dan Indonesia sudah meratifikasi Perjanjian Menangani Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) yang dimeterai 10 negara Asean pada 2016, namun ianya perlu diperkasakan lagi.

Tinjauan yang dilakukan oleh Sinar Harian melalui undian di Facebook, majoriti pengguna berpendapat negara Asean perlu mengambil tindakan tegas terhadap Indonesia akibat daripada fenomena jerebu ini.

Walau bagaimanapun agak sensitif untuk mengutarakan isu ini dan terus menuding jari pada Indonesia. Pembakaran terbuka yang berlaku di Indonesia kebanyakannya dari ladang milik syarikat Malaysia.

Jika tindakan tegas di ambil pada Indonesia, maka secara tidak langsung Malaysia juga akan terpalit dengan isu ini. Mungkin langkah terbaik adalah dengan memberi amaran kepada syarikat perladangan Malaysia yang mempunyai ladang di Indonesia.

Mungkin negara anggota Asean perlu mengambil langkah pencegahan seperti membina bangunan blok terusan untuk memastikan tanah gambut, sama ada yang masih asli atau sudah dibangunkan kekal berair dan tidak mudah terbakar.

Memang benar pembakaran ladang ini seolah-olah sudah menjadi budaya bagi pekerja sektor pertanian di Indonesia untuk membersihkan ladang bagi proses penanaman semula. Namun hanya kerana kos yang lebih murah, bukan bermakna nyawa dan kesihatan manusia perlu menjadi taruhan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here