Rukun negara antara ikrar yang sangat signifikan ketika zaman persekolahan.  Malah kebanyakan buku-buku tulis di sekolah pasti terkandung prinsip Rukun Negara untuk dihayati oleh generasi muda. Namun sedarkah kita, hampir kelima-lima prinsip Rukun Negara ini semakin dicabuli dan terhakis nilai-nilainya. Ya, ini yang berlaku. Kini Rukun Negara hanya sekadar ‘prinsip kosong’.

Lima prinsip Rukun Negara

Kepercayaan kepada Tuhan merupakan prinsip pertama Rukun Negara. Prinsip ini dengan jelas meletakkan kita pada landasan agama yang secara dasarnya perlu dijadikan sebagai panduan. Maka dengan jelas, prinsip ini menentang keganasan, tuntutan di luar tabii seperti lesbian dan homoseksual, menolak minuman keras yang bukan sahaja merosakkan institusi kekeluargaan bahkan sememangnya telah terbukti mampu meletakkan seseorang dalam situasi bahaya.

Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan namun penduduk yang mempunyai berlainan agama bebas mengamalkan anutan masing-masing tanpa sebarang halangan. Maka jika setiap daripada rakyat Malaysia mengamalkan prinsip pertama Rukun Negara ini, mungkin gejala-gejala pergaduhan dan provokasi sehingga membawa kepada kematian tiada atau kurang dilaporkan di negara kita. Malangnya, kini hampir setiap bulan kita dihidangkan dengan cerita provokasi pergaduhan yang membawa kepada kematian.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Walaupun sistem raja berpelembagaan atau monarki bukanlah satu sistem yang terbaik di dunia, namun sudah ada beberapa negara yang membuktikan bahawa negara beraja masih lagi aman. Antaranya di rantau Arab, negara seperti Kuwait, Oman, Jordan dan Qatar rakyatnya masih lagi bebas menjalani kehidupan harian berbanding dengan sistem negara tidak beraja seperti Syria, Yaman, Libya serta Iraq.

Namun di Malaysia, sudah ada  ‘suara-suara’ sumbang yang mahu institusi diraja ini dihapuskan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik. Sistem negara kita mengamalkan sistem demokrasi di mana kerajaan persekutuan dipilih oleh rakyat setiap empat atau lima tahun. Tetapi apa yang dikesalkan, apabila ada segelintir ketua-ketua parti politik pembangkang yang terdahulu menghasut rakyat untuk melakukan demonstrasi sebagai tanda protes kepada kerajaan. Ini bukan caranya menghormati sistem negara kita.

Rukun Negara mantapkan perpaduan kaum

Keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang adalah prinsip ketiga dan keempat di dalam Rukun Negara. Secara mudahnya kita perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan dan  undang –undang negara yang telah ditetapkan. Menghormati perlembagaan bermakna menghormati juga dasar-dasar yang digariskan antaranya hak-hak bangsa Melayu dan Bumiputera.

Jika diperhatikan, hak-hak bangsa Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan semakin dicabuli. Apa yang lebih mengecewakan, apabila ada juga segelintir bangsa Melayu sendiri yang mahu hak-hak bangsa mereka dikurangkan, dengan alasan dasar kesamarataan. Kecewa sungguh apabila ada yang masih ‘buta sejarah’.

Kesopanan dan kesusilaan, prinsip terakhir Rukun Negara. Mudah maksudnya, tetapi sukar untuk dijadikan panduan oleh kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda. Jika di lihat di kebanyakan media sosial, kebanyakan generasi muda lebih gemar menggunakan bahasa dan perkataan yang kesat dan mencaci sesiapa sahaja termasuk orang yang lebih tua.

Pengunaan bahasa kotor dan menghina bangsa dan agama lain dianggap sebagai tidak bersopan. Adakah ini generasi yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara kelak? Sejauh mana penghayatan generasi muda masa kini pada Rukun Negara.

Baca, hayati dan amalkan prinsip Rukun Negara. Malaysia sedang berhadapan dengan provokasi berkenaan isu perpaduan yang dicetuskan oleh puak-puak yang tidak bertanggungjawab. Kesemua bangsa yang ada di Malaysia perlu sama-sama berganding bahu dan mengamalkan prinsip Rukun Negara agar Malaysia kekal dengan keunikannya sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum namun masih mengekalkan keharmonian.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here