Kawasan yang ditumbuhi tumbuh-tumbuhan secara semulajadi atau ditanam akan dikenali sebagai kawasan hijau bandar. Kawasan hijau bandar adalah salah satu elemen penting dalam memastikan persekitaran yang sihat dan kesejahteraan hidup penduduk setempat.

Oleh itu, Timbalan Pengerusi Save Kuala Lumpur telah memberi saranan kepada kerajaan supaya memberi tumpuan dalam melindungi kawasan hijau di sekitar kawasan bandar besar. Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan sememangnya diperlukan dalam mengikuti perkembangan ekonomi bagi menampung peningkatan populasi rakyat.

Taman eco rimba bukit nanas merupakan kawasan warisan hijau malaysia

Namun, kepentingan dan keperluan melindungi kawasan hijau bandar tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja. Taman Eco Rimba Bukit Nanas telah pun diwartakan sebagai hutan simpan namun, ia masih belum mencukupi dalam melindungi kawasan hijau bandar.

Sehubungan itu, kerajaan perlu lebih peka dalam mengenalpasti kawasan-kawasan yang perlu dilindungi supaya tidak terjejas akibat daripada pembangunan. Selain itu, kerajaan juga perlu memberikan dana khas bagi memastikan program-program dan aktiviti pemeliharaan serta pemuliharaan dapat dilaksanakan dalam melindungi kawasan hijau bandar.

Sementara itu, kerajaan juga perlu mengawal projek-projek pembangunan yang mampu mengancam kawasan hijau bandar. Sesi dialog bersama penduduk setempat juga merupakan salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan kerana mereka lebih mengetahui sejarah dan memahami sesuatu kawasan tersebut. Oleh itu, pandangan mereka juga perlu diambil kira sebelum kerajaan meluluskan sesuatu projek.

Tidak ada siapa yang menolak pembangunan demi memastikan kemajuan ekonomi negara. Namun, kita tidak boleh menolak bahawa mewujudkan dan mengekalkan zon hijau bandar juga mempunyai manfaatnya yang tersendiri.

Kepesatan pembangunan tidak seharusnya mengancam kawasan hijau bandar

Kewujudan kawasan hijau bandar sudah pasti memberi kesejahteraan kesihatan yang berkualiti kepada penduduk setempat. Selain itu, sudah lupakah kita bahawa pokok-pokok juga berupaya menghalang daripada berlakunya banjir dan hakisan tanah di mana ia juga merupakan salah satu penyumbang kepada aspek keselamatan.

Justeru itu, kerajaan seharusnya mengambil kira cadangan ini kerana kawasan hijau bandar juga mampu menjadi tarikan pelancong ke negara ini. Keunikan yang terdapat di negara kita tidak seharusnya dimusnahkan hanya kerana kita terlalu obses dengan pembangunan. Kepentingan melindungi kawasan hijau bandar sama juga pentingnya dengan kepesatan pembangunan. Tidak ada siapa yang tahu jika suatu hari nanti kawasan hijau bandar akan menjadi tempat paling istimewa buat rakyat Malaysia dalam melarikan diri dari hiruk pikuk ibu kota.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here