Kewujudan kilang Lynas terus menjadi kontroversi kerana masyarakat telah ‘termakan’ dengan hujah-hujah golongan yang menentang operasi kilang Lynas ini yang dipercayai boleh mengancam kesihatan dan keselamatan orang awam.

Hal ini kerana Lynas yang bertapak di Gebeng, Pahang ini mengendalikan biji nadir bumi yang mengandungi sejumlah kecil bahan radioaktif dan dikatakan boleh mendatangkan kemudaratan dan kerosakan kepada alam sekitar.

Tan Bun Teet antara individu yang memperjuangkan operasi Lynas dihentikan

Terdapat tiga jenis bahan sisa dari kilang Lynas ini iaitu Gypsum Sintetik (FGD), Gypsum Magnesium (NUF) yang kaya dengan magnesium, dan Fosfogypsum Besi (WLP). FGD dan NUF adalah bahan sisa bukan radioaktif dan diprogramkan untuk menjadikannya sebagai bahan komersial.

WLP pula mengandungi kadar radioaktif pada tahap 0.165 % dan kadar yang ditetapkan oleh piawaian antarabangsa bagi mengukur sesuatu bahan bukan radioaktif adalah 0.05%. Namun, Lynas telah mengenal pasti kaedah bagi menstabil dan menurunkan lagi kadar radioaktif didalam WLP dari 0.165 % ke paras 0.03 %, iaitu lebih rendah dari paras yang ditetapkan oleh piawaian antarabangsa.

Malah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga telah mengesahkan bahawa projek Lynas adalah selamat dan tidak memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar. Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Jabatan Alam Sekitar juga memberi jaminan operasi kilang tersebut selamat, malah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan turut mengatakan Lynas bukan dikategorikan sebagai CIMAH (Kawalan Terhadap Bahaya Kemalangan Besar Dalam Perindustrian).

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan projek Lynas adalah selamat

Oleh itu, kebimbangan pihak-pihak tertentu ini tidak mempunyai asas dan tidak berdasarkan fakta. Tindakan kerajaan untuk meneruskan dan membenarkan kilang Lynas beroperasi adalah demi kepentingan ekonomi negara. Melalui Lynas, kerajaan dapat menarik pelaburan luar masuk ke dalam negara ini.

Ini kerana pembukaan kilang pemprosesan nadir bumi di Malaysia, merupakan satu langkah yang baik untuk menambahkan pendapatan negara. Kilang Lynas berupaya menghasilkan nilai eksport sebanyak RM8 billion setahun dan dijangkakan meningkat dari tahun ke tahun. Ini dapat memberikan pendapatan tetap dan lumayan kepada negara kita kerana kilang pemprosesan nadir bumi ini tidak banyak di seluruh dunia.

Justeru, projek Lynas ini dilihat mampu melonjakkan ekonomi negara dan memberi impak positif kepada rakyat dari segi menyediakan peluang pekerjaan bagi graduan-graduan universiti dalam bidang yang berkaitan. Namun, masyarakat perlu terus diberi pendedahan serta fakta yang sebenar mengenai projek Lynas ini agar mereka tidak tersalah tafsir dan termakan dengan propaganda-propaganda yang disebarkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here