Keadaan ekonomi yang semakin menghimpit dengan harga makanan lebih tinggi dari nilai wang dalam saku rakyat Malaysia adalah isu yang sering kita dengar dari warga miskin kota. Namun, baru-baru ini satu pendedahan ataupun keluhan yang kita dengari bukan dari warga miskin kota tetapi kini warga kampus juga terkesan dengan keadaan ekonomi terutamanya warga kampus di ibu kota.

Baru-baru ini tular di media sosial dan media massa mengenai kisah mahasiswa yang terpaksa mengikat perut kerana tidak mempunyai wang untuk makan. Hal ini bukanlah polemik politik namun ini adalah realiti kehidupan sesetengah mahasiswa di universiti yang bergelut dengan kelaparan demi segulung ijazah mahupun sekeping diploma. Realiti yang harus ditanggung oleh mahasiswa yang mempunyai latar belakang keluarga yang susah namun hanya segelintir pihak yang maklum akan isu tersebut.

Mee segera menjadi makanan ruji mahasiswa

Mahasiswa yang sangat terkesan dengan kos sara hidup ini adalah mahasiswa daripada Universiti Malaya (UM) kerana universiti tersebut terletak di tengah kota raya. Tambahan lagi, dengan kos yuran dan penginapan yang agak mahal berbanding dengan universiti tempatan yang lain, kebanyakan mahasiswa terpaksa mengikat perut. Malahan pinjaman PTPTN juga hanya tinggal sedikit selepas ditolak segala perbelanjaan yuran dan penginapan. Disebabkan itu, ramai mahasiswa terpaksa mencatu wang saku harian mereka.

Isu mahasiswa kelaparan ini harus ditangani dengan segera kerana hal ini akan menjejaskan prestasi akademik mereka. Perut yang kosong akan mengganggu konsentrasi untuk belajar dan membiarkan perut kosong akhirnya akan menyebabkan para pelajar mendapat penyakit yang kronik.

Masalah kewangan dalam kalangan mahasiswa juga perlu diberi penekanan agar tiada dalam kalangan mahasiswa yang terpaksa berhenti melanjutkan pengajian akibat daripada tidak mampu menanggung kos pengajian. Jika masalah ini tidak dapat diatasi, sedikit sebanyak akan mencalarkan imej negara yang tidak berjaya menawarkan pendidikan percuma ataupun pendidikan yang mampu ditanggung oleh rakyat.

Walau bagaimanapun, pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh pihak universiti dan perwakilan pelajar seperti mewujudkan food bank, kios makanan percuma, gerobok rezeki dan sebagainya sebagai salah satu inisiatif memberi makanan percuma kepada golongan mahasiswa yang memerlukan. Inisiatif ini perlu dilakukan di setiap universiti agar isu mahasiswa kelaparan dapat diatasi. Kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan juga perlu terus memberi bantuan sewajarnya agar program ini tidak terhenti setengah jalan sahaja.

Nasi bujang juga dikira makanan mewah bagi mahasiswa miskin

Ternyata isu ini mendatangkan impak yang negatif terhadap sebahagian mahasiswa dan perlu diberi perhatian kerana ia berkaitan dengan keperluan asas kehidupan seseorang individu. Solusi yang perlu dituju sebaiknya hendaklah mampan dan mendatangkan faedah sosial kepada pihak yang terlibat. Program seperti kupon makanan percuma perlu diteruskan dan penyediaan makanan kos rendah di kawasan kolej oleh pihak universiti seharusnya diwujudkan.

Justeru itu, perwakilan pelajar juga perlulah lebih agresif dalam memperjuangkan isu-isu yang membabitkan masalah yang dihadapi oleh golongan mahasiswa kerana perkara-perkara melibatkan kebajikan pelajar boleh diperjuangkan oleh mereka. Oleh itu satu langkah yang drastik perlu diambil bagi mencari jalan keluar untuk membela nasib mahasiswa yang semakin terhimpit oleh tekanan ekonomi ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here