Kenaikan kos sara hidup dirasai oleh hampir semua golongan, terutamanya di kalangan mahasiswa yang hanya mengharapkan wang daripada ‘PAMA’ (Ibu bapa) atau daripada bantuan tabung pendidikan.

Itupun hanya berbaki mungkin RM300 atau kurang selepas ditolak yuran kos pengajian. Maka mahasiswa terpaksa mengikat perut supaya wang perbelanjaan yang diperolehi cukup bagi menampung kehidupan.

Golongan mahasiswa mungkin tidak perlu mengikat perut lagi apabila kerajaan komited untuk menyediakan Kad Harapan bagi membantu mereka membeli barangan di Kedai Harapan atau Hope Mart dengan potongan harga antara tujuh hingga 10 peratus. Ianya akan diedarkan kepada 800,000 mahasiswa yang meminjam dengan PTPTN.

Pemegang Kad Harapan dapat menikmati diskaun di Hope Mart

Selain daripada membantu mahasiswa, produk yang dijual di Kedai Harapan ini juga dijangka dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana apabila 20 peratus produk mereka akan dijual di kedai tersebut.

Kedai harapan pertama akan dibuka di Shah Alam pada Sabtu depan. Kerajaan mensasarkan 70 buah premis Kedai Harapan akan dibuka pada fasa pertama dan 220 buah lagi dibuka hingga hujung tahun ini.

Untuk menilai bantuan Kad Harapan yang diberikan oleh kerajaan adalah terlalu awal. Namun harus diingatkan agar kerajaan tidak menetapkan hanya barangan tertentu sahaja yang boleh dibeli di Kedai Harapan dengan bantuan kad tersebut. Harga yang dijual juga haruslah bersesuaian dengan sasaran, iaitu golongan mahasiswa.

Pelajar tidak perlu mengikat perut lagi selepas Kad Harapan diedarkan

Bantuan yang disalurkan oleh pihak kerajaan ini wajar diperkembangkan. Pelajar bukan sahaja terbeban untuk membeli bahan makanan, bahkan segala tugasan kuliah juga memerlukan perbelanjaan yang tinggi seperti mahasiswa daripada jurusan senibina.

Mahasiswa daripada jurusan ini terpaksa menggunakan wang perbelanjaan untuk membeli model blok bangunan, katil atau rumah yang akan digunakan untuk ‘assignment’ mereka. Itu belum lagi jika mahu diambil kira kos percetakan. Pelajar daripada jurusan ini terpaksa menggunakan cetakan kertas A3 yang berwarna yang menelan belanja ratusan ringgit.

Masalah itu bukan sahaja dihadapi oleh mahasiswa senibina, bahkan hampir semua mahasiswa terpaksa menghabiskan separuh daripada wang saku mereka untuk kos percetakan. Maka kerajaan mungkin boleh mengambil inisiatif untuk membangunkan kedai percetakan seperti Kedai Harapan ini yang memerlukan pelajar mengeluarkan perbelanjaan yang sedikit berbanding dengan kedai percetakan lain.

Usaha kerajaan untuk membantu golongan mahasiswa wajar diberi penghargaan. Walaupun pasti ada suara-suara sumbang yang menyatakan ini hanyalah ‘idea cedok’ daripada kerajaan terdahulu, yang menyediakan Kad Siswa dan Kedai Rakyat 1 Malaysia, namun jika ianya memberikan kebaikan kepada rakyat, apa salahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here