Menerusi Belanjawan 2019, satu kaedah telah diperkenalkan iaitu potongan cukai bagi para majikan yang membantu para kakitangan mereka melangsaikan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Menurut Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata menerusi pelaksanaan itu badan pinjaman pelajaran tersebut telah menerima sejumlah RM383,285.91 daripada 15 majikan yang mengambil peluang untuk membantu pekerja masing-masing dalam membayar tunggakan pinjaman PTPTN pada tahun lalu.

Adakah kaedah ini sesuai? Mungkin ya bagi meringankan beban peminjam PTPTN kerana dengan cara ini mereka tidak perlu runsing memikirkan bagaimana caranya mereka bagi mencari wang tambahan dalam usaha untuk melangsaikan hutang pinjaman pelajaran. Jadi, peluang sebegini tidak harus dilepaskan memandangkan zaman kini masih terdapat sebilangan besar graduan yang menganggur dan buntu dalam menyelesaikan masalah hutang tersebut.

PTPTN menerima kutipan sebanyak RM383,285.91 daripada 15 majikan sempena pelaksanaan kaedah ini tahun lalu

Namun, hal sebaliknya boleh berlaku ke atas majikan kerana mereka harus memikirkan cara bagaimana untuk menstabilkan kewangan syarikat tetapi dalam masa yang sama mahu menolong kakitangan yang bergelut dengan masalah pinjaman. Ini kerana tidak mustahil sebahagian kakitangan yang dibantu itu meletakkan jawatan mereka sejurus selesainya pembayaran pinjaman kerana tawaran kerja lain yang lebih lumayan. Apabila kakitangan yang baru diterima masuk juga mempunyai bebanan hutang, adakah majikan yang sama juga perlu menyelesaikan perkara tersebut?

Sejujurnya, pelaksanaan kaedah ini tidak memberikan sebarang kelebihan kepada kedua-dua pihak kerana mereka boleh saja memanfaatkan di antara satu sama lain. Sebagai contoh, dari sisi para kakitangan mereka boleh menjadikan ia sebuah ‘platform’ untuk melangsaikan hutang pelajaran, seterusnya meletakkan jawatan mereka dan bekerja di tempat baru. Apa kelebihan yang majikan terima selain daripada kerugian? Ibarat penjamin yang membantu menyelesaikan hutang pemiutang kepada ceti haram.

Kaedah ini dilihat kurang memberi kesan terhadap pihak majikan dan kakitangan khususnya golongan B40

Sebaliknya di pihak majikan pula, mereka akan mengambil kesempatan ke atas kakitangan mereka dengan menggunakan kaedah ini untuk memotong segala faedah-faedah yang wajar diterima oleh setiap kakitangan dengan alasan bagi membantu syarikat melangsaikan hutang tersebut. Sekiranya perkara itu terjadi, apa kelebihan yang diterima oleh kakitangan daripada pelaksanaan tersebut? Situasi ini sama saja seperti mereka membayar hutang pinjaman secara bulanan ke PTPTN.

Ironinya, pelaksanaan sesuatu kaedah itu mestilah diperhalusi dengan lebih jitu agar kedua-dua pihak menerima manfaat yang sama untung. Dalam hal ini, kerajaan dan PTPTN seharusnya mengadakan satu taklimat atau penerangan secara digital mengenai perkara ini kepada pihak majikan dan juga kakitangan yang terlibat. Ini bagi memastikan mereka benar-benar faham akan faedah yang diterima oleh kedua-dua pihak dalam usaha untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan kaedah ini berjaya dan berjalan secara lancar tanpa ada sebarang aduan yang mencurigakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here