Isu ‘mak nyah’ kecoh semula di media sosial apabila kebanyakan akhbar di Malaysia mengeluarkan tajuk utama mengenai perlantikan Rania Zara Medina, seorang transgender sebagai ahli jawatankuasa (AJK) di bawah Kementerian Kesihatan.

Rania Zara Medina, Ratu Trans Women,2017

Tajuk akhbar sahaja sudah mengundang kontroversi terutama kepada pembaca yang mempunyai ‘sindrom baca tajuk’. Namun apabila difahami isi kandungan berita, mungkin masyarakat dapat menilai sendiri sama ada perlantikan ‘mak nyah’ ini sesuatu perkara yang relevan atau tidak.

Beliau dilantik sebagai AJK di dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia bagi penggal 2019/2021 di bawah Kementerian Kesihatan. CCM ini berfungsi untuk menangani wabak HIV, AIDS, Tibi dan Malaria yang sejajar dengan Pelan Strategik Nasional melalui sumbangan daripada Global Fund.

Tidak seharusnya masyarakat mengkritik kerajaan di atas perlantikan transgender ini. CCM Malaysia ditubuhkan melalui keputusan jemaah menteri pada 2009. Sepanjang tempoh itu, Malaysia sentiasa mempunyai wakil transgender di CCM.

Perlantikan golongan ‘mak nyah’ di CCM bukan dengan tujuan ‘suka-suka’ atau sebagai pengiktirafan ‘besar’ kepada mereka, tetapi untuk memenuhi keperluan Global Fund yang mahu 25 anggota CCM dilantik bagi mewakili pemegang taruh seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil populasi sasar.

Secara umumnya, perlantikan Rania Zara Medina ini adalah bagi mewakili populasi sasar di dalam CCM yang terdiri daripada golongan transgender, pekerja seks wanita, men-sex-with-men, penagih dadah dan orang yang hidup bersama HIV/AIDS.

Pelan Strategik Nasional CCM

Maknanya, di dalam CCM juga terdapat wakil daripada penagih dadah, GRO, Gay dan mereka yang tinggal dengan penghidap HIV.

Kerajaan terdahulu mungkin tidak mewar-warkan mengenai perlantikan AJK CCM di bawah Kementerian Kesihatan yang terdiri daripada golongan sasar ini. Maka, rakyat tidak mengetahui secara menyeluruh penglibatan mereka di dalam CCM.

Golongan sasar ini adalah penyelesaian kepada wabak HIV negara. Ada benarnya juga kerana mereka lebih mengetahui ‘titik-titik hitam’ selama bergelar ‘golongan songsang’ dan kebanyakan daripada golongan ini mahu perubahan di dalam hidup, tetapi sering dipinggirkan oleh masyarakat.

Golongan ini adalah komuniti terpinggir yang perlu diberi perhatian agar permasalahan mereka mendapat jalan penyelesaian daripada membiarkannya merebak menjadi satu wabak.

Masyarakat terlalu memandang serong golongan songsang ini sehingga merasakan mereka seolah-olah ‘tidak layak’ untuk hidup di dunia. Menyokong tidak semestinya mengiktiraf perlakuan mereka, tetapi sebagai dorongan supaya mereka berubah kepada jati diri yang sebenar.

Jangan kita tengok permulaan hidup seorang manusia, tetapi kita perlu lihat pengakhiran hidupnya. Mungkin pengakhiran mereka lebih baik daripada kita yang pandai berkata-kata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here