Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) telah lama dirancang sejak tahun 1974. Tetapi cadangan ini mula dibangkitkan oleh Penasihat Komunikasi dan Media kepada Dr Mahathir Mohammad, A. Kadir Jasin yang memaklumkan bahawa MMM perlu ditubuhkan pada tahun ini. Walaupun cadangan penubuhan badan bebas itu telah lama diperjuangkan oleh warga media tempatan, namun masih belum ada kata putus berkenaan penubuhan MMM.

Buat masa ini, National Union of Journalist (NUJ) Malaysia, Institute of Journalist (IOJ) Malaysia, Gerakan Media Merdeka (Geramm), Sabah Journalist Association dan Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM) telah bersetuju ke arah penubuhan MMM.

Tujuan utama penubuhan MMM ini adalah selaras dengan polisi politik kerajaan PH yang mahukan kebebasan media dan pihak media bebas mengawal selia industrinya sendiri. Setiap perkara yang disampaikan oleh media cetak, media elektronik dan media internet tidak akan menyebelahi mana-mana pihak.

Pengunaan media internet juga akan termasuk di dalam Majlis Media Malaysia

Namun cadangan ini akan dilaksanakan jika kerajaan memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (PPPA). Akta ini dikatakan menindas hak kebebasan pengamal media dalam menyampaikan berita. Kerajaan PH memang sedang mengkaji untuk menghapuskan PPPA. Pemansuhan ini bererti kerajaan memberi isyarat awal konsep pengawalan kendiri dan kebebasan media. Penubuhan MMM ini tidak akan melalui proses campur tangan daripada pihak kerajaan, kerana kepentingan media mesti dijaga oleh golongan media sendiri.

Jika penubuhan badan bebas ini dilaksanakan, fungsinya adalah lebih kurang sama seperti Majlis Peguam dan Majlis Perubatan iaitu menjaga kebajikan pengamal media dan mengatur industri media Malaysia. Setiap ahli di dalam MMM ini adalah daripada golongan mereka yang bergiat aktif di dalam bidang media.

Penubuhan MMM di dalam keadaan politik semasa sekarang adalah suatu keputusan yang wajar kerana pengisian di dalam media itu tidak seharusnya dipengaruhi oleh mana-mana badan kerajaan, pembangkang, atau individu yang mempunyai kepentingan sendiri. Secara umumnya, media tidak seharusnya dipengaruhi atau dimiliki oleh mana-mana badan politik kerana tidak mahu wujudnya unsur berat sebelah di dalam penyampaian berita. Media tidak boleh dimonopoli oleh kerajaan, tetapi harus menjadi medium kepada kehendak masyarakat.

Kebebasan media yang bakal diamalkan di dalam MMM, jika benar ianya dilaksanakan, bukanlah bermakna semua pengamal media mempunyai ‘lesen besar’ untuk menulis apa sahaja. Penubuhan badan bebas ini bakal menjaga integriti media. Makanya, setiap pengamal media harus tahu batasan mereka dalam menjalankan tugas. Walaupun penggunaan media internet agak sukar dikawal kerana pengunaannya yang meluas dan tanpa sekatan, namun ia bukan alasan untuk menyebarkan sebarang propaganda.

Penubuhan Majlis Media Malaysia bukanlah tiket besar kepada propaganda media di Malaysia

Penubuhan badan bebas ini dilakukan supaya media bertanggungjawab terhadap masyarakat. Bermakna, setiap pengisian yang disampaikan haruslah telus, benar dan tidak memihak mana-mana pihak serta mematuhi etika kewartawanan yang pernah menjadi kebanggaan pengamal media masa dahulu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here