Gejala samseng jalanan di kalangan pemandu-pemandu di Malaysia dilihat semakin hari semakin membimbangkan. Mana tidaknya, gejala ini dilihat semakin menular hingga ada sebahagiannya membawa maut. Mengambil kira insiden terbaru pada Jumaat lalu, di mana seorang pemandu lelaki dengan beraninya menghentikan kenderaan seorang wanita di Johor Bahru hingga mendatangkan trauma ke atas mangsa membuktikan bahawa jenayah ini semakin serius dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya bukan sahaja jabatan penguatkuasaan malah Kerajaan Malaysia juga.

Hal ini kerana sebahagian pembuli jalan raya ini merasakan mereka terlalu hebat di atas jalanan. Ini ditambah pula dengan kelonggaran undang-undang jalan raya dengan hukuman yang dikenakan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan peruntukan 5 hingga 10 tahun penjara secara maksimum dan denda antara RM10,000 hingga RM20,000 secara maksimum serta penggantungan lesen selama dua tahun belum cukup untuk ‘menginsafkan’ para samseng jalanan ini.

Kehadiran samseng jalan raya di negara ini semakin hari semakin membimbangkan

Selain itu, pengaruh seperti tayangan filem bergenre lasak terlampau dan juga perasaan ingin mencuba turut menjadi faktor mengapa gejala ini semakin berleluasa. Hal ini kerana kurangnya pendedahan dan pendidikan terhadap generasi masa kini tentang bahana menjadi samseng jalanan dan akibat yang perlu ditanggung apabila terlibat.

Sekiranya perkara ini berlarutan, maka negara akan menghadapi ancaman bahaya terhadap pengguna jalan raya yang lain akibat perbuatan samseng jalanan ini. Antara ancaman yang dilihat adalah akan adanya lebih ramai samseng jalanan di dalam negara. Ini akan menyebabkan lebih banyak jenayah berkenaan lalu lintas yang akan berlaku seterusnya menimbulkan rasa ketakutan terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Sementara itu, ancaman yang lebih besar akan berlaku apabila para samseng jalanan ini mengambil kesempatan dengan menggunakan tipu helah atau lebih dikenali sebagai ‘scam’ untuk tujuan mengugut mangsa bagi mendapatkan sejumlah bayaran yang tidak masuk akal. Hal ini akan membuatkan mangsa menjadi lebih trauma selain takut untuk berhadapan dengan khalayak ramai.

Pihak berkuasa dan kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih tegas dalam mengekang gejala tidak sihat ini

Dalam hal ini, langkah yang efektif perlu dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan gejala ini dapat dikekang agar memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya yang lain. Antara langkah yang dilihat berkesan adalah dengan meminda atau mewarta semula akta yang sedia ada dengan memperuntukan hukuman yang lebih berat ke atas pesalah lalu lintas.

Di samping itu, kerajaan juga haruslah mengeluarkan satu pekeliling mengenai kewajipan untuk memasang kamera keselamatan terhadap semua kenderaan di samping mengadakan program membasmi samseng jalanan kepada orang ramai. Ini bagi memudahkan pihak berkuasa mendapatkan kerjasama daripada masyarakat mengenai kegiatan samseng jalanan dan seterusnya tindakan segera boleh diambil.

Justeru, rakyat Malaysia dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika memandu di lebuh raya atau sekitarnya. Jalan raya hak milik bersama, oleh itu sentiasa semaikan dalam diri untuk lebih bertanggungjawab dan lebih bertimbang rasa terhadap para pengguna jalan raya yang lainnya. Tiada tempat untuk samseng di jalan raya Malaysia!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here