Apa itu Ombudsman? Ia merupakan sebuah sistem lantikan seorang pegawai yang dilantik oleh pihak pemerintah atau Parlimen bagi mewakili kepentingan umum dengan menyiasat aduan salah laku di dalam sistem pentadbiran ataupun pelanggaran hak-hak. Kebiasaannya, tugas seorang pegawai Ombudsman adalah melakukan penyiasatan ke atas aduan yang diterima dan cuba untuk menyelesaikannya sama ada melalui jalan perundangan atau menjadi pengantara dalam sesuatu kes.

Malaysia perlu mengamalkan sistem Ombudsman bagi memperbaiki sistem yang sedia ada.

Jumaat lalu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Yusof dalam satu kenyataannya menyebut sudah sampai masanya untuk Malaysia mengamalkan sistem Ombudsman. Ini kerana hampir semua negara dunia yang mengamalkan sistem demokrasi telahpun menerima peranan Ombudsman dan mengamalkannnya di dalam sistem Parlimen di negara mereka. Ujar beliau, Malaysia perlulah menerima peranan Ombudsman dan memiliki pembaharuan kepada suatu sistem yang lebih baik daripada yang sedia ada.

Antara negara yang telah mengamalkan sistem ini adalah New Zealand di mana ia telah dilaksanakan pada tahun 1962 di bawah Komisioner Parlimen New Zealand. Pada tahun 1983, bidang kuasa seorang pegawai Ombudsman diperluaskan lagi bagi menyiasat agensi yang gagal memberikan maklumat yang diminta mengikut Akta Maklumat Rasmi. Sistem Ombudsman juga bertanggungjawab untuk melindungi pemberi maklumat dan menyiasat pentadbiran penjara dan tempat penahanan lain.

Sementara itu, Republik Indonesia merupakan negara Asia Tenggara yang terawal mengamalkan sistem Ombudsman ini. Ia dimulakan pada zaman pemerintahan Presidennya yang ketiga, Bacharuddin Jusuf Habibie pada 1998. Namun, peranannya dikaji semula setelah mengambil kira pelbagai keperluan dan kepentingan dalam mengimplemetasikan sistem Ombudsman kepada Indonesia. Lalu, pada 10 Mac 2000 Komisi Ombudsman Nasional terbentuk sebelum ditukar nama kepada Ombudsman Republik Indonesia pada 7 Oktober 2008 dengan peranan tetap telah diwartakan sesuai dengan undang-undang Indonesia.

Malaysia perlu mengamalkan sistem Ombudsman bagi memperbaiki sistem yang sedia ada

Lumrah bagi sesebuah negara untuk melaksanakan sesuatu perundangan baru di negara mereka, pasti akan ada pihak yang mempersoalkan kebaikan dan keburukan pelaksanaan sesuatu perkara. Dalam hal ini, sudah semestinya berlaku pro dan kontra bagi sesuatu pelaksanaan. Sebagai contoh, pelaksanaan sistem Ombudsman mungkin akan keadilan yang saksama kepada rakyat dalam menuntut hak mereka. Tetapi dalam masa yang sama perkara yang sebaliknya harus difikirkan, adakah pegawai yang dilantik begitu efisien dalam menangani permasalahan atau adakah beliau akan bersifat bias?

Selain itu, pelaksanaan sistem Ombudsman ini juga akan ‘membersihkan’ intergriti pasukan penjawat awam daripada kontroversi yang melanda. Akan tetapi, sekiranya laporan yang dilakukan itu palsu dan dilakukan atas tujuan penganiayaan, maka ia secara tidak langsung turut mencemarkan nama jabatan dan tindakan saman mungkin akan berlaku.

Masih terlalu awal untuk diperkatakan apakah wajar sistem Ombudsman hendak diamalkan di Malaysia. Namun, apa yang pasti suatu pembaharuan perlu dilakukan bagi menangani permasalahan salah laku penjawat awam dengan lebih tegas dan efisien. Mungkin kerajaan perlu melakukan kajian lebih mendalam sebelum membentangkannya di dalam Parlimen, atau mungkin kerajaan boleh melaksanakan sistem ini secara sementara dan lihat hasil keputusannya sebelum pelaksanaan secara menyeluruh diwartakan.

Justeru, pelaksanaan sistem Ombudsman ini dilihat antara cara terbaik bagi menangani permasalahan salah laku di dalam kalangan penjawat awam. Ini bagi membolehkan ‘proses pemutihan’ integriti di kalangan penjawat awam yang bermasalah dilakukan dengan pantas dan efisien. Pelaksanaan sistem ini juga merupakan ‘amaran’ kepada semua penjawat awam agar melakukan tugas dengan penuh dedikasi tanpa sebarang culas. Hal ini bagi memastikan hak rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here