Kemakmuran dan kedamaian hidup masyarakat di negara ini dianggap sebagai faktor penarik untuk warga asing terutamanya dari Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan malah menarik minat warganegara China untuk berkunjung dan menetap di negara ini. Mereka bukan sahaja datang untuk melancong, tetapi mereka juga berniat untuk bekerja sebagai buruh kasar di negara ini.

Bagi Perdana Menteri, Tun Mahathir, kebanjiran pekerja asing di negara ini adalah berpunca daripada sikap rakyat yang tidak mahu membuat kerja-kerja tertentu terutamanya kerja yang melibatkan sektor 3D (dirty, dangerous, difficult).

Orang Malaysia dikatakan tidak mahu membuat kerja dalam sektor 3D

Namun, kerajaan juga turut menggalakkan pengambilan buruh asing dalam memajukan ekonomi negara. Ini kerana, kemajuan dalam bidang infrastruktur berkembang dengan lebih pesat berikutan sikap buruh asing yang sanggup bekerja lebih masa untuk mencari rezeki. Malah, kerajaan turut mengeluarkan permit kepada buruh asing yang ingin bekerja di negara ini.

Hakikatnya, Malaysia sememangnya memerlukan tenaga pekerja asing dalam sektor pembangunan negara, namun kemasukan warga asing yang tidak terkawal serta pendatang asing tanpa izin yang banyak akan menimbulkan pelbagai masalah.

Malahan, hak rakyat juga sedikit sebanyak akan terjejas. Ini kerana pihak majikan lebih suka mengupah pendatang asing tanpa izin kerana gaji mereka jauh lebih murah. Hal ini pasti menjejaskan peluang pekerjaan rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat Malaysia berminat dalam bidang pekerjaan 3D ini.

Warganegara Bangladesh antara warga asing yang ramai di Malaysia

Walaupun keperluan dan peranan pekerja asing terutamanya dalam bidang buruh kasar tidak dapat dinafikan, namun negara memerlukan pekerja asing dan bukannya kebanjiran warga asing yang telah menampakkan seolah-olah negara Malaysia telah ‘dijajah’ oleh warga asing. Jika langkah-langkah tertentu tidak diambil, masalah-masalah ini akan menimbulkan implikasi yang negatif terhadap sistem sosial, ekonomi mahupun politik dan ketenteraman negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here